JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi didakwa berperanan seperti pembangkang apabila menuding jari terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) dalam isu kekurangan kakitangan di hospital-hospital di Johor.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain mendakwa, pendekatan diambil Onn Hafiz itu tidak membantu menyelesaikan masalah kekurangan jururawat dan kakitangan di hospital-hospital terbabit.
“Sebagai Menteri Besar, beliau seharusnya tampil sebagai pemimpin yang membawa penyelesaian, bukannya sekadar mengeluarkan kenyataan yang dilihat seperti seorang pembangkang yang hanya pandai menuding jari kepada pihak lain.
“Amanah Johor berpandangan bahawa isu kekurangan tenaga kerja kesihatan memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan.
“Menteri Besar sepatutnya menjadi jambatan bagi mempercepatkan penyelesaian melalui perbincangan, penyelarasan dan cadangan yang konstruktif demi kepentingan rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rakyat tidak mahu melihat budaya saling menyalahkan antara agensi atau kerajaan, sebaliknya apa yang diharapkan ialah kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah, memperjuangkan keperluan negeri dan memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas.
Katanya, jika setiap isu hanya dijawab dengan menuding jari kepada pihak lain tanpa disusuli usaha yang konkrit, ia tidak mencerminkan ciri-ciri seorang Menteri Besar yang memimpin sebuah negeri.
Tanggungjawab utama seorang Menteri Besar ialah mencari jalan penyelesaian, bukan mencari pihak untuk dipersalahkan, katanya.
Amanah Johor turut menggesa kerajaan negeri mengemukakan pelan tindakan yang jelas bagi membantu menangani kekurangan tenaga kesihatan di Johor.
Jelas Ketua Amanah Kawasan Kluang itu lagi, ini termasuk memperkukuh kerjasama dengan KKM dalam aspek penempatan, kemudahan serta kebajikan petugas kesihatan.
Tegas beliau, sekiranya Onn Hafiz gagal memainkan peranan sebagai pemimpin yang mampu menyelesaikan masalah rakyat dan hanya terus mengamalkan budaya menyalahkan pihak lain, maka beliau perlu menilai semula keupayaannya memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor.
Selasa lalu, Onn Hafiz melahirkan kebimbangan apabila Hospital Pasir Gudang (HPG) masih belum beroperasi sepenuhnya kerana isu pengisian tenaga kerja.
Beliau dilaporkan berkata, daripada keseluruhan 2,271 jawatan yang diperuntukkan di HPG, hanya 1,079 jawatan sudah diisi, manakala 1,192 lagi masih kosong sehingga kini.
Jelas beliau, kekosongan tersebut membabitkan pakar perubatan, jururawat serta petugas kesihatan lain. – MalaysiaGazette
















