PETALING JAYA – Semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) digesa mengamalkan sikap bertolak ansur dalam rundingan pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kepentingan gabungan perlu mengatasi kepentingan mana-mana parti sekiranya PN-BN mahu meneruskan momentum kemenangan yang disifatkannya sebagai “Gelombang Biru”.
Menurutnya, rundingan kerusi perlu diputuskan secara bersama oleh semua Presiden parti dalam PN-BN.
“Kalau kita benar-benar mahu bergabung dan meneruskan Gelombang Biru yang bermula di Johor kemudian ke Negeri Sembilan, kita mesti ada sikap bertolak ansur.
“Kita perlu duduk semeja antara semua Presiden parti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung luar biasa Wawasan di Tropicana Golf & Country Resort, di sini, malam ini.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gabungan parti itu akan mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dimenanginya pada 2021.
Dalam pada itu, Hamzah mengakui setiap parti mempunyai keinginan untuk bertanding lebih banyak kerusi, namun keputusan akhir perlu mengambil kira kepentingan gabungan secara keseluruhan.
Menurut Hamzah, Wawasan juga mahu mempertahankan dua kerusi DUN yang kini disokong parti itu iaitu Bemban dan Sungai Udang.
“Matlamat utama adalah memastikan penyandang yang menyokong Wawasan bukan sahaja bertanding, malah berjaya mengekalkan kemenangan,” katanya.
Katanya lagi, rundingan pembahagian kerusi masih belum dimuktamadkan kerana pembubaran DUN Melaka juga belum berlaku.
“Kita duduk bersama di antara semua Presiden parti. Buat masa ini belum ada tarikh untuk kita tentukan bila, insya-Allah saya rasa dalam kehendak parti itu sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















