Chow Kon Yeow bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PH negeri hari ini. Gambar ihsan - FB CKY.

GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bersetuju mengekalkan wakil Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, selaras dengan kesefahaman kerjasama pilihan raya yang dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat PH negeri hari ini, selain mengambil kira kedudukan kerjasama antara kedua-dua gabungan berkenaan.

Beliau berkata, persefahaman pilihan raya yang dipersetujui pada PRN 2023 adalah antara PH dan BN sahaja.

“PH negeri turut mengambil maklum pendirian di peringkat kebangsaan bahawa Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga PRU akan datang.

“Setakat ini tiada kenyataan di peringkat negeri yang bercanggah dengan pendirian berkenaan,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PH Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, PH Pulau Pinang perlu memperkukuh kesepaduan antara parti komponen dan tidak boleh terlalu selesa dengan rekod pentadbiran sedia ada menjelang PRU akan datang.

Katanya, menjadi tanggungjawab PH Pulau Pinang untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi selain berusaha menambah kerusi pada PRU akan datang.

“Prestasi kerajaan adalah asas penting, namun persepsi dan sentimen rakyat juga perlu diberi perhatian bagi memastikan pencapaian kerajaan diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.

“Kita juga perlu lebih berkesan dalam menguasai naratif dan ruang digital dengan menyampaikan maklumat berasaskan fakta serta mudah difahami masyarakat.

“Setiap kerusi di Pulau Pinang akan dianalisis dari pelbagai sudut..Itu tanggungjawab Pakatan Harapan negeri untuk mengekalkan dan menambahkan kerusi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast