Karl Shafek

KUALA LUMPUR – Hampir sedekad menyepi daripada pentas teater pelakon, Karl Shafek teruja untuk kembali beraksi menerusi Teater Muzikal Tomyam Berdarah terbitan CTRA Production pada 28, 29 dan 30 Ogos 2026 di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Menurut pemilik nama sebenar, Khairul Shafek Ibrahim, 46, itu, kali terakhir beliau berlakon teater adalah pada tahun 2018 menerusi naskhah Ombak Rindu juga di bawah terbitan CTRA Production.

Bagaimanapun, beliau terpaksa memperlahankan karier seni teater berikutan pandemik Covid-19 yang mana aktiviti pementasan terhenti seketika.

Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, hampir setahun mencari-cari naskhah teater untuk melepaskan rindu yang tidak pernah pudar, tanpa berfikir panjang Karl Shafek bersetuju menerima tawaran membintangi Teater Muzikal Tomyam Berdarah bagi memainkan watak Chef Rahman, pemilik Restoran Rahman Berkatmaju.

“Alhamdulillah, ketika mendapat offer (berlakon) daripada penerbit (Siti Rohayah Attan), saya terus katakan yes! Walaupun belum baca skrip dan tidak mengetahui jalan cerita serta butiran penuh teater ini kerana terlalu gembira apabila impian kembali ke pentas teater tercapai.

“Tambahan pula, ini bukan kali pertama. Jika diikutkan Teater Muzikal Tomyam Berdarah merupakan projek teater ketiga saya bekerjasama dengan CTRA Production selepas Ombak Rindu dan Tenggelamnya Kapal van der Wijck,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Karl Shafek teruja untuk kembali beraksi menerusi Teater Muzikal Tomyam Berdarah,

Bicara lanjut, Karl Shafek juga aktif mengusahakan bisnes fesyen jenama Neonate dan produk makanan label Khalishbyks menjelaskan bahawa beliau tidak cerewet dalam pemilihan watak.

“Saya tak kisah diberikan watak utama ataupun sampingan kerana berpeluang menyertai pentas teater itu sudah cukup bermakna buat saya. Paling penting, dapat melepaskan rindu,” jelas anak kelahiran Pekan, Pahang ini.

Teater Muzikal Tomyam Berdarah merupakan pementasan teater muzikal interaktif bergenre satira jenayah menggabungkan elemen komedi gelap, siasatan dramatik dan naratif makanan tempatan.

Ia bukan sekadar cerita tentang kematian, tetapi mengenai hidup yang ‘direbus’ bersama harapan, dendam dan identiti – semua itu disajikan di dalam satu periuk tomyam.

Berlatarkan sebuah restoran yang sedang siap siaga menyertai pertandingan Master Chef Universe, kekecohan bermula apabila pemilik restoran, Chef Rahman ditemukan mati di dalam periuk tomyam warisannya sendiri.

Dari situ, dapur menjadi lokasi jenayah dan setiap pekerja menjadi suspek — semuanya ada motif, semuanya menyimpan rahsia!

Inisiatif pementasan ini salah satu bentuk sokongan terhadap usaha kerajaan yang sentiasa proaktif memperkasakan dan mengasah kemahiran generasi muda dalam bidang kulinari sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga tahap profesional.

Apatah lagi, melihat landskap gastronomi semakin berkembang khususnya bidang masakan menjadi pilihan utama sebahagian besar rakyat Malaysia mendorong CTRA Production dan Peran Opera mengangkat industri makanan dan minuman (F&B) dalam pementasan Teater Muzikal Tomyam Berdarah.

Diarahkan oleh Aloeng Silalahi merangkap penulis skrip, Teater Muzikal Tomyam Berdarah bakal dipentaskan selama tiga hari berturut-turut di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor bermula pada 28, 29 dan 30 Ogos 2026.

Antara barisan pelakon yang terbabit dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah ialah Karl Shafek dan Juhara Ayob.

Tiket dijual pada harga RM25 dan RM35 dan boleh dibeli dengan melayari www.ilassotickets.com atau WhatsApp Hotline (601113297822). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast