KUALA LUMPUR – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JKTSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menggerakkan intervensi bersepadu bagi melindungi dan membantu 541 pekerja Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. yang terjejas susulan penutupan operasi syarikat berkenaan.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan berkaa, JKTSM melalui Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Subang Jaya telah menerima Borang Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja (Borang PK) daripada syarikat pada 23 dan 27 Julai 2026 serta menjalankan siasatan pada 27 Julai 2026.
Katanya, hasil siasatan mendapati seramai 541 pekerja, terdiri daripada 415 pekerja tempatan dan 126 pekerja asing, terlibat dalam pemberhentian yang akan dilaksanakan secara dua peringkat pada 31 Oktober 2026 dan 31 Mac 2027.
“Pihak syarikat telah memberikan komitmen untuk menyelesaikan bayaran yang layak diterima pekerja termasuk gaji, gaji ganti notis, bayaran ganti cuti tahunan dan faedah penamatan kerja dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM64.38 juta,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, JTKSM akan terus memantau pelaksanaan pemberhentian dan pembayaran faedah bagi memastikan hak pekerja dipelihara mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Sekiranya pihak syarikat gagal memenuhi kewajipannya, tindakan penguatkuasaan sewajarnya termasuk tuntutan kes buruh dan pendakwaan boleh diambil.
Pada masa sama, KESUMA menerusi PERKESO akan menggerakkan intervensi awal melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan mendapatkan maklumat pekerja bagi tujuan pemprofilan, penilaian keperluan dan pelaksanaan intervensi bersasar.
Sebagai tindakan susulan, PERKESO bersama JTKSM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Panasonic pada 11 Ogos 2026 bagi menyelaras tindakan berkaitan perlindungan pekerja, kelayakan faedah dan intervensi penempatan pekerjaan.
Antara bantuan yang akan disediakan termasuk khidmat nasihat dan bantuan permohonan faedah SIP kepada pekerja yang memenuhi syarat kelayakan sebagai sokongan pendapatan sementara sepanjang tempoh peralihan pekerjaan.
ARTIKEL BERKAITAN
Pekerja terjejas juga akan diberikan kaunseling kerjaya dan pemadanan pekerjaan menerusi MYFutureJobs, selain sesi temu duga dan program penempatan secara bersasar bersama majikan yang mempunyai kekosongan bersesuaian.
Bagi pekerja yang memerlukan penyesuaian kemahiran, intervensi latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) akan dikenal pasti berdasarkan keperluan dan kesesuaian pekerja.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan, KESUMA akan memastikan kebajikan serta kelangsungan kerjaya pekerja yang terjejas diberikan perhatian sewajarnya.
“KESUMA akan memastikan pekerja yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan diberikan sokongan sewajarnya dan tidak dibiarkan berdepan tempoh peralihan ini tanpa bantuan. Melalui PERKESO, intervensi akan digerakkan seawal mungkin bagi membantu mereka mendapatkan perlindungan pendapatan serta kembali ke pasaran pekerjaan.”
KESUMA juga katanya, bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan kepada pekerja terjejas dapat dilaksanakan secara terkoordinasi.
Pendekatan “daripada kehilangan pekerjaan kepada pekerjaan baharu” ini mencerminkan usaha berterusan KESUMA dalam memperkukuh daya tahan pasaran buruh negara serta memastikan pekerja terus dilindungi dan kekal produktif dalam menghadapi perubahan struktur industri. -MalaysiaGazet















