SHAH ALAM – Politik identiti yang memainkan sentimen Melayu dan Islam ketika pilihan raya mampu menyebabkan segala usaha serta pencapaian kerajaan dalam membangunkan negeri tidak lagi diberi perhatian rakyat.
Ahli Dewan Negeri (PH-Seri Serdang), Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi berkata, ia berlaku apabila isu berkaitan ancaman terhadap Melayu dan Islam dijadikan modal politik sehingga menenggelamkan prestasi sebenar kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Menurut beliau, keadaan tersebut menimbulkan persoalan sama ada kerajaan perlu terus bekerja keras sepanjang penggal jika pada akhirnya pencapaian dan khidmat kepada rakyat tidak lagi menjadi pertimbangan ketika pilihan raya.
“Kita bekerja siang dan malam, sampai pilihan raya (BN-PN) jual Melayu-Islam. Cerita tentang Melayu-Islam, Melayu terancam, Islam terancam.
“Di Selangor ini, Islam mana yang terancam? Masjid mana yang kita tutup? Surau mana yang kita tutup?” soalnya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) bagi tempoh 2026 hingga 2030 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Abbas berkata, politik seharusnya berasaskan politik khidmat bukan politik identiti yang hanya menekankan isu bangsa dan agama untuk meraih sokongan ketika pilihan raya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa isu seperti banjir, pengurusan sampah dan pembangunan negeri perlu diketepikan apabila kempen pilihan raya lebih banyak dipenuhi retorik mengenai bangsa dan agama.
“Kalau begini, tak perlu buat kerja penat-penat. Kita jual sahaja bangsa dengan agama. Tak perlu cerita tentang banjir. Tak perlu cerita tentang pengurusan sampah. Kita bercerita sahaja tentang agama dan bangsa dan akhirnya ia tidak memajukan negeri dan negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Abbas menegaskan, Kerajaan Selangor tidak pernah menafikan atau memansuhkan hak mana-mana kaum, termasuk orang Melayu, Cina dan India.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan negeri adalah memastikan hak serta kepentingan semua kelompok masyarakat terus dipelihara dalam kerangka masyarakat majmuk.
“Apabila ditanya hak orang Melayu mana yang kita mansuhkan? Hak orang Melayu mana yang kita nafikan? Hak orang Cina mana yang kita nafikan? Hak orang India mana yang kita nafikan?
“Semuanya kita jaga dengan baik,” katanya.
Menurutnya, realiti Selangor menunjukkan masyarakat pelbagai kaum mampu hidup bersama serta menyumbang kepada pembangunan negeri apabila politik khidmat dijadikan asas pentadbiran.
Dalam perkembangan berkaitan, Abbas turut membangkitkan isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) khususnya tindakan pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika laporan berkenaan dibentangkan hari ini.
Beliau mempersoalkan tindakan berkenaan kerana isu TH menyentuh kepentingan umat Islam, termasuk dakwaan mengenai kerugian besar yang berlaku sebelum ini.
“Kalau betul-betul nak memperjuangkan keadaan, nak memperbetulkan apa yang telah berlaku, yang salah yang kita nampak di depan mata, duduk bahas dan cari solusi yang betul.
“Apakah yang sebenarnya? Bila cakap pasal Melayu dan ada masalah dan sebagainya, apabila bercakap tentang Melayu, memperjuangkan Melayu, kenapa bila RCI dibentangkan keluar dewan?” soalnya.
Abbas berkata, percanggahan itu memperlihatkan perbezaan antara politik identiti dengan politik berasaskan khidmat dan penyelesaian masalah.
Beliau turut membangkitkan dakwaan beberapa pemimpin kerajaan terdahulu pernah difitnah kononnya menjual aset TH kepada pihak bukan Islam sedangkan dapatan RCI perlu diteliti secara serius bagi menentukan fakta sebenar dan pihak yang bertanggungjawab.
“Ini kepentingan umat Islam. Kalau ada perkara yang berlaku dan menyebabkan kerugian besar kepada umat Islam, ini bukan serius lagi ke?
“Ini bukan kepentingan umat Islam? Ini bukan kepentingan orang Melayu?” soalnya.
Dalam masa sama, beliau menggesa perubahan pemikiran rakyat supaya tidak terus terperangkap dengan naratif Melayu atau Islam sentiasa berada dalam keadaan terancam.
Beliau turut memetik gagasan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai keperluan mempunyai infrastruktur kelas pertama dengan pemikiran kelas pertama, berbanding keadaan pembangunan fizikal yang maju tetapi pemikiran masih terkebelakang.
“Pemikiran kita masih lagi bercakap tentang identiti. Pemikiran kita masih lagi takut kepada ‘Melayu itu terjajah, Melayu itu akan diancam’.
“Minda kita masih terjajah dengan ‘Islam terancam’. Sedangkan realitinya hari ini di Selangor, Alhamdulillah, baik Melayu, baik Cina, baik India, semua kita sama-sama sayangkan Selangor dan sama-sama kita majukan Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















