Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memulakan prosiding komital terhadap Tan Bee Geok kerana melanggar terma penghakiman persetujuan yang dimeterai bersama SC pada 17 September 2020.

Penghakiman persetujuan itu susulan prosiding yang dimulakan SC terhadap Bee Geok kerana melanggar Seksyen 188(3)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), selepas beliau menyampaikan maklumat dalaman berkaitan APL Industries Berhad kepada kakaknya, Tan Bee Hong.

Susulan penghakiman berkenaan, Bee Geok antara lain bersetuju untuk tidak bertindak sebagai pengarah atau terlibat dalam pengurusan mana-mana syarikat tersenarai awam (PLC) atau mana-mana anak syarikat PLC bagi tempoh lima tahun dari tarikh penghakiman.

Bagaimanapun, Bee Geok kemudiannya didakwa terus bertindak sebagai pengarah beberapa anak syarikat PLC dan kekal terlibat secara aktif dalam pengurusan syarikat berkenaan, sekali gus melanggar terma penghakiman persetujuan tersebut.

Berikutan itu, SC memfailkan permohonan ex-parte pada 17 September 2025 untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadapnya.

Mahkamah Tinggi kemudiannya mengarahkan supaya permohonan itu didengar atas dasar ex-parte tanpa dibantah pihak lawan.

Pada 12 Ogos 2026, Hakim Mahkamah Tinggi, Leong Wai Hong membenarkan permohonan SC dan memberikan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Bee Geok.

SC diwakili Mohd Hafiz Mohd Yusoff, Ng Chian Huey, Loo Kit Ming Keith dan Siti Sarah Kamaruzaman, bersama peguam luar yang dilantik iaitu Benjamin John Dawson dan Eileen Othman daripada Tetuan Benjamin Dawson.

Bee Geok pula diwakili Sivanesan Ravenesan dan Siti Nur Amirah.

SC berkata, pihaknya memandang serius pelanggaran penghakiman persetujuan dalam kes berkaitan undang-undang sekuriti.

Menurut SC, tindakan ketidakpatuhan sedemikian bukan sahaja menjejaskan keberkesanan penguatkuasaan kawal selia, malah boleh menghakis penghormatan terhadap kuasa perintah mahkamah dan pentadbiran keadilan.

Permulaan prosiding komital itu, katanya, menggariskan komitmen SC untuk memastikan pematuhan terhadap kewajipan yang diperintahkan mahkamah serta memastikan pihak yang gagal mematuhinya dipertanggungjawabkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast