Fahmi Fadzil pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik HKHM 2026 di Menara Komunikasi.

PUTRAJAYA – Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026) meraih sumbangan penajaan melebihi RM48.63 juta daripada 139 rakan strategik, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi RM2.7 juta dalam bentuk wang tunai manakala RM45.93 juta lagi adalah sumbangan barangan dan perkhidmatan.

Menurut beliau, jumlah itu merupakan peningkatan yang amat memberangsangkan iaitu lebih 118 peratus berbanding tahun lalu sebanyak RM22.3 juta.

“Berdasarkan keseluruhan nilai tajaan, 50 peratus adalah berbentuk promosi, 30 peratus berbentuk barangan untuk diberikan kepada pengunjung manakala baki 20 peratus lagi merupakan tajaan kepada jawatankuasa-jawatankuasa yang terlibat dalam penganjuran HKHM 2026.

“Pencapaian ini tentunya tidak akan dapat direalisasikan tanpa
kepercayaan, keyakinan dan kesediaan rakan-rakan strategik untuk bersama-sama menjayakan sambutan yang amat bermakna ini.

“Justeru, bagi pihak Kementerian Komunikasi, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua Rakan Strategik HKHM 2026 tanpa mengira besar atau kecil nilai sumbangan yang diberikan,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik HKHM 2026 di Menara Komunikasi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi turut mengumumkan berita baik apabila lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YES, akan menawarkan Insentif Rebat RAHMAH HKHM 2026.

Katanya, menerusi inisiatif itu, semua pengguna perkhidmatan prabayar dan pascabayar di kalangan warganegara Malaysia yang layak akan menikmati pemberian 10GB data percuma.

“5GB pada Hari Kebangsaan iaitu 31 Ogos ini dan 5GB lagi sempena Hari Malaysia pada 16 September depan.

“Kaedah dan tempoh penebusan data percuma ini akan diperincikan oleh syarikat telekomunikasi terlibat, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast