Teo Nie Ching

KULAI – DAP Johor sedia berdepan sebarang kemungkinan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) termasuk ramalan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan menjalinkan kerjasama politik.

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, parti itu akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kerusi yang dimenangi pada PRU-15 tidak terlepas.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan pada masa sama tidak mahu terlalu bergantung kepada kedudukan berdasarkan keputusan PRU-15 sebaliknya akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan sokongan rakyat.

“Kita akan buat yang terbaik untuk mempertahankan kerusi kita. Untuk DAP sendiri, kita akan buat yang terbaik untuk menghadapi PRU akan datang. Kami bersedia untuk menghadapi apa-apa jua situasi,” katanya.

Teo Nie Ching ketika menghadiri program penyerahan peruntukan Sekolah Angkat Madani di SK Murni Jaya, Kulai hari ini.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program penyerahan peruntukan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Murni Jaya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan penganalisis politik yang mendakwa 13 daripada 14 kerusi Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Johor berada dalam zon merah dan kuning sekiranya BN dan PN menjalinkan kerjasama politik pada PRU-16.

Pada PRU-15, DAP Johor memenangi lima kerusi Parlimen iaitu Labis, Kluang, Iskandar Puteri, Kulai dan Bakri.

Sementara itu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung 1 Ogos lalu menyaksikan PH kalah dan kerajaan negeri tumbang selepas BN dan PN menjalinkan kerjasama politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast