Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Fahmi Fadzil menyampaikan pembentangan laporan tahunan 2024/2025 pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2026.

AYER KEROH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa perkara lain esok selepas menyatakan cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tidak mustahil beberapa perkara lain turut akan diumumkan oleh beliau.

Menurutnya, terdapat permintaan supaya had kelayakan RON95 di bawah BUDI95 dikembalikan kepada 300 liter sebulan, malah terdapat pihak yang mencadangkan jumlah lebih tinggi sehingga 500 liter.

“Melalui BUDI95, rakyat Malaysia yang layak menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan kelayakan asas sehingga 300 liter sebulan.

“Tetapi, keadaan ekonomi dan geopolitik dunia memaksa pihak kerajaan menilai semula angka tersebut menjadi 200 liter,” katanya ketika membuat usul ekonomi pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu Fahmi berkata, kepimpinan parti akan mengambil kira semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan untuk diambil tindakan.

“Saya tak pasti sama ada perwakilan yang minta supaya dinaikkan semula ke 300 liter ada ke? Ada yang minta naik 500 liter? Kita akan rangkumkan.

“Masalah seperti ini, perdana menteri selaku presiden kita maklumkan tadi, kepimpinan perlu mendengar dan menterjemahkan apa yang didengar menjadi tindakan.

“Saya percaya kalau PM ada sebut tentang itu, tidak mustahil dalam masa yang tidak terlalu lama, mungkin seawal esok ada beberapa perkara lain yang akan diumumkan PM,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada kongres tersebut memaklumkan, kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa.

Menurutnya, keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan mahasiswa yang mahukan ruang kebebasan lebih luas, termasuk melalui memorandum yang dikemukakan kepada kerajaan.

Pengumuman Anwar itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Anwar menjelaskan, pemansuhan AUKU adalah antara beberapa agenda reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast