Zahari Sarip mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip hari ini mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu.

Pelantikan itu selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mencalonkan bekas Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri berkenaan pada Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) Yang Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail di sini.

Onn Hafiz yang juga ADUN Machap hanya mencadangkan satu nama bagi jawatan Speaker sebelum pencalonan Zahari disokong Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri yang juga ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Zahari, 59, menggantikan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang memegang jawatan Speaker sejak 2022 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15.

Mohd Puad yang juga bekas ADUN Rengit dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini mengumumkan keluar daripada parti itu pada 25 Jun lalu.

Sementara itu, Zahari ketika berucap selepas secara rasmi dilantik sebagai Speaker dan dipakaikan pakaian rasmi, merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan Menteri Besar Johor kepadanya.

Beliau berkata, pemilihan berkenaan merupakan satu penghormatan kepadanya dan akan dipikul dengan penuh bersungguh-sungguh dan dedikasi.

“Saya akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Saya dan kesemua ADUN merakamkan penghargaan dan megucapkan terima kasih kepada Speaker dan Timbalan Speaker sebelum ini iaitu Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Samsolbari Jamali,” katanya.

Zahari yang juga Ketua UMNO Bahagian Segamat sebelum ini berjaya mempertahankan kerusi DUN Buloh Kasap pada PRN Johor ke-16.

Calon Barisan Nasional (BN) itu memperoleh 14,054 undi bagi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Rozy Razit yang meraih 5,454 undi.

Kemenangan itu menyaksikan Zahari mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 8,600 undi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here