KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor Malaysia bagi bulan Mac 2024 kekal dalam pertumbuhan positif selama empat bulan berturut-turut, mencatatkan kenaikan 2.3 peratus kepada 112.2 mata pada Mac 2024 berbanding 109.7 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan ini didorong oleh prestasi Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (25.4%) dan Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (24.8%) yang kukuh.
Sementara itu, perubahan bulanan IP menyusut 0.5 peratus, berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan oleh Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (-0.7%) dan Import Benar Semi Konduktor (-0.4%).
Kadar pertumbuhan IP terlicin bagi Mac 2024 adalah konsisten di atas trend, melepasi100.0 mata, menggambarkan ekonomi Malaysia yang optimis selari dengan prestasi penggunaan swasta dan pemulihan perdagangan luar.
Bagi kedudukan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mengekalkan pertumbuhan positifnya dengan mencatatkan 125.0 mata, meningkat 2.3 peratus berbanding 122.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Empat komponen menyumbang secara positif kepada kenaikan terkini terutamanya Caruman Nyata KWSP (19.6%).
Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS juga mencatatkan peningkatan 0.6 peratus disumbangkan oleh kesemua komponen kecuali Jumlah Guna Tenaga dalam Pembuatan (-0.1%). – MalaysiaGazette















