SELEPAS lebih 400 hari Israel menyerang Gaza, masih belum ada tanda-tanda ia akan berakhir.
Keadaan terkini, utara Gaza dibantai keras oleh penjajah dengan misi, mengosongkan utara Gaza, menghalau mereka ke bahagian tengah dan selatan Gaza.
Yang berdegil terus ingin menetap, dibunuh tanpa perasaan. Dengan penyaluran bantuan yang dinafikan, kawasan utara Gaza berhadapan dengan kebuluran.
Muhammad Arqouq, warga Gaza menyebutkan “Kami dibiarkan kebuluran untuk memastikan kami meninggalkan kawasan tempat tinggal kami, namun kami akan kekal di sini.”

Berdasarkan laporan, sekurang-kurangnya seramai 70,000 warga Gaza masih berada di utara Gaza.
Perancangan Israel untuk mengosongkan utara Gaza bakal menyebabkan kawasan tengah dan selatan Gaza dibanjiri dengan manusia, tidak terbilang ramainya.
Khamis lalu, tentera Israel mula mengeluarkan arahan untuk mengosongkan beberapa kawasan kejiranan di tengah Gaza, memungkinkan operasi darat bakal dijalankan di sana.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 14,000 warga Gaza menjadikan kawasan tengah Gaza sebagai kawasan berlindung.

Kawasan tengah Gaza juga berhadapan dengan kekurangan akses kepada keperluan harian, dengan serangan tanpa henti yang telah meranapkan hampir keseluruhan bandar tesebut.
Dalam keadaan seperti padang jarak padang tekukur, dengan fasiliti yang hampir tiada, bekalan makanan dan minuman yang terhad, ditambah lagi akses kepada fasiliti kesihatan yang terhad, rakyat Gaza seolah-olah dibiarkan mati di dalam kepayahan.
Seruan Amerika Syarikat kepada Israel untuk membenarkan sekurang-kurangnya 350 trak memasuki Gaza bagi memastikan barangan bantuan dapat diedarkan, tidak diendahkan.
Oktober 2024, data mencatatkan secara purata, hanya 57 buah trak dapat masuk ke Gaza. Minggu pertama November secara purata hanya 81 buah trak dapat memasuki Gaza dalam sehari.

Rantaian bantuan melalui NGO yang masih kekal bertahan bertugas dalam 1001 kepayahan tidak mampu untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat jumlahnya.
Persatuan Cinta Gaza Malaysia antara yang masih terus bertahan menyalurkan bantuan seluruh rakyat Malaysia kepada mereka yang memerlukan di Gaza.
Tahun ini bakal mencatatkan sejarah. Tahun kedua warga Gaza berhadapan dengan musim sejuk dalam suasana perang. Setakat penulisan ini ditulis, seramai 43,603 orang sudah kehilangan nyawa di Gaza.
Keperluan untuk mendapatkan tempat berlindung yang dilengkapi keperluan asas sudah tentu menjadi fokus utama warga Gaza.
Kerana itu, Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) melancarkan kempen WinterAid4Humanity, untuk memastikan keperluan asas di dalam menghadapi musim sejuk ini menjadi antara perkara penting di dalam memastikan warga Gaza mendapatkan pembelaan sewajarnya daripada umat; sekurang-kurangnya melalui penyaluran bantuan dalam memastikan kelangsungan hidup mereka.

Serangan Israel ini bukan sahaja membunuh warga Gaza dengan senjata, namun membunuh melalui sekatan terhadap akses untuk mendapatkan barang bantuan.
Tugas kita yang berada di belahan dunia, memastikan mereka memperolehi keperluan sewajarnya melalui sumbangan yang kita salurkan.
Melalui kempen WinterAid4Humanity, CGM menyasarkan sumbangan sebanyak RM3 Juta untuk disalurkan kepada mereka yang terkesan di Gaza, Palestin. Tidak ketinggalan, bantuan juga akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan di Lubnan, Turki, Syria dan Tajikistan.

Layari www.cgm.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kempen dan teruskan menyumbang sebagai tanda prihatin kita kepada mereka yang memerlukan.
Salam pembebasan!

Muhammad Syahmi AfiqMuhammad Syahmi Afiq Mohd. Syukri
Ketua Advokasi & Penerbitan
Cinta Gaza Malaysia















