KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan liberalisasi dasar pertukaran asing (FEP) bagi bank pembangunan pelbagai hala (MDB) dan institusi kewangan pembangunan (IKP) bukan pemastautin yang layak.
Liberalisasi ini bertujuan untuk memudahkan pelaburan institusi-institusi ini dalam bidang pertumbuhan utama di Malaysia. Bidang pertumbuhan ini termasuk industri elektrik dan elektronik (E&E), penggunaan teknologi, kelestarian dan pusat data.
MDB dan IKP bukan pemastautin yang layak kini boleh menerbitkan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit untuk kegunaan di Malaysia; dan memberi pembiayaan dalam ringgit kepada syarikat pemastautin.
IKP bukan pemastautin yang layak merujuk institusi kewangan bukan pemastautin yang menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial dengan membiayai projek, menyokong pelaburan atau menjana modal dan diluluskan oleh BNM.
Langkah ini akan membolehkan pembiaya dan sektor perniagaan menstrukturkan pembiayaan dalam ringgit bagi projek dalam negeri, di samping mengurangkan risiko ketidakpadanan mata wang.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, liberalisasi ini akan mendorong penyertaan yang lebih tinggi daripada pelabur antarabangsa dalam bidang pertumbuhan utama di Malaysia.
Hal ini selari dengan permintaan dan minat yang semakin meningkat daripada institusi kewangan antarabangsa untuk membiayai projek pelaburan bernilai tinggi di Malaysia berdasarkan pemerhatian sejak kebelakangan ini.”
Selain itu, MDB dan IKP bukan pemastautin yang layak boleh berkongsi kepakaran teknikal, khususnya dalam pembiayaan campuran.
Langkah ini akan membantu peserta domestik sedia ada memenuhi permintaan pembiayaan untuk menyokong pelaburan strategik dan usaha peralihan iklim di Malaysia.
Dengan memupuk persekitaran pelaburan yang lebih kondusif, inisiatif liberalisasi ini akan meningkatkan terbitan dan penyertaan penerbit dan pelabur antarabangsa. Langkah ini akan memberikan manfaat dari segi kedalaman dan keteguhan bagi pasaran bon dan sukuk domestik. – MalaysiaGazette















