Kemal Rizadi Arbi

KUALA LUMPUR – Kumpulan profesional kewangan Islam yang mahir perlu diperluaskan di peringkat global untuk menangani pertumbuhan pesat dan cabaran yang muncul, didorong oleh tekanan inflasi, ketegangan geopolitik, tekanan sektor perbankan, dan kemajuan dalam teknologi dan pendigitalan antara lain dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Selain itu, kemasukan tenaga kerja baharu adalah penting untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian kewangan beretika dan mampan yang ditawarkan oleh kewangan Islam sambil merapatkan jurang akibat faktor-faktor disebutkan.

Presiden Institut Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CIIF), Kemal Rizadi Arbi berkata, usaha berterusan untuk peningkatan pengetahuan adalah penting bagi profesional kewangan Islam dalam melaksanakan mutu kerja yang berkualiti tinggi serta daya jangka yang akan menyumbang kembali kepada industri dengan lebih besar.

Menurutnya, pandangan itu mengambil kira pertumbuhan industry perkhidmatan kewangan Islam global sebanyak 4.0% tahun-ke-tahun (YoY), yang bersamaan dengan jumlah anggaran bernilai AS$3.38 trilion pada 2023

“Memandangkan modal insan mahir merupakan komponen penting dalam pertumbuhan industri kewangan Islam, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dengan kelayakan profesional dan menginstitusikan kelayakan ini dalam pembangunan kerjaya bakat dalam industri, merupakan elemen penting dalam menggerakkan kewangan Islam ke peringkat seterusnya,” katanya ketika berucap Majlis Penganugerahan Ke-3 CIIF baru-baru ini.

Majlis yang bertemakan “Dari Aspirasi Menuju Pencapaian” ini menyaksikan seramai 100 ahli dianugerahkan sebagai Ahli Bertauliah, yang mana 15 daripadanya dianugerahkan sebagai Felo Ahli Bertauliah.

Kemuncak majlis ini ialah penganugerahan khas kali pertama oleh CIIF kepada Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi yang menerima Anugerah Ahli Bertauliah Kehormat CIIF atas sumbangan besar beliau kepada kewangan Islam, termasuk kepimpinan beliau dalam Pasukan Kewangan Islam Global PwC semasa berkhidmat di PwC.

Majlis itu turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Senior Kewangan Islam (ARIF), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Enforcement, Leadership, and Management University (ELMU) untuk memberi tumpuan kepada memupuk manfaat bersama dalam industri kewangan Islam melalui pelbagai inisiatif bersama, termasuk perkongsian pengetahuan antara profesional berpengalaman dan bakat muda, serta pembangunan profesional.

Objektif MoU dengan UiTM adalah untuk merapatkan jurang akademik dan professional dalam kewangan Islam dengan menggabungkan keupayaan pendidikan UiTM dengan kepakaran industri CIIF.

Sementara itu, MoU dengan ELMU menumpukan usaha untuk memajukan pembangunan profesional dan pendidikan dalam tadbir urus, kewangan Islam dan bidang berkaitan.

CIIF turut melancarkan program pensijilan terbaharunya – Pensijilan Profesional dalam Tadbir Urus Syariah, Pengurusan Risiko dan Audit untuk Pengendali Takaful, yang bertujuan untuk melengkapkan profesional dengan pengetahuan kritikal, alat dan strategi yang diperlukan untuk cemerlang dalam tadbir urus Syariah, mengurus risiko secara berkesan serta melaksanakan rangka kerja audit yang mantap khusus untuk operasi
Takaful.

Program pensijilan ini disasarkan kepada pegawai Syariah, juruaudit dalaman, pengurus risiko, kakitangan pematuhan, eksekutif kanan dalam pengendali takaful dan lain-lain professional dan dijadualkan untuk dibuka bagi pendaftaran pada suku pertama 2025.

CIIF ialah sebuah badan profesional untuk pengamal bertauliah dalam industri kewangan Islam yang ditubuhkan sejak 2015, sehingga kini, CIIF mempunyai seramai 1,541 ahli di seluruh dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast