KUALA LUMPUR – Suka atau tidak, calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib dari Barisan Nasional (BN) terus menjalankan kempen bersama jenteranya seperti yang dijadualkan.
Enggan memikirkan pihak yang masih tidak berpuas hati dengan pencalonannya di Endau, Alwiyah lebih selesa bercakap tentang kempen yang dijalankan demi memastikan kemenangan BN.
Katanya, apa juga keadaan yang berlaku, tumpuannya hanya untuk bertemu semua pengundi dan mendapatkan sokongan mereka.
“Setakat hari ini yang dah masuk hari ketujuh, kempen saya bertemu pengundi berjalan lancar dan mendapat sokongan rakyat.
“Saya sentiasa optimis BN akan tetap mendapat sokongan rakyat apalagi setelah berjumpa dengan mereka.
“Pengalaman saya dalam NGO banyak membantu kempen kerana ramai yang kenal saya walaupun tidak secara langsung,” ujarnya.
Alwiyah yang juga Ketua Wanita UMMO Mersing memjelaskan tidak banyak isu yang bangkitkan rakyat selain soal pembangunan dan ekonomi.
“Sepanjang berkempen, saya dengar dan rekodkan semua permasalaham rakyat supaya senang untuk dilaksanakan sekiranya saya dipilih pengundi untuk menjadi wakil rakyat di sini nanti.
“BN adalah sebuah parti yang tidak melupakam janjinya dan saya sendiri akan menunaikannya semua janji dibuat nanti tanpa mengira kaum dan agama, insyaAllah,” katanya.
Mesra dengan panggilan Kak Awi, anak jati Mersing ini mudah menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa wanita tidak sesuai untuk menjadi wakil rakyat.
“Mungkin saya tidak boleh duduk di kedai mamak sampai jauh malam dengan rakyat tetapi saya boleh bekerja sehingga subuh.
“Saya dah ada pengalaman lebih 30 tahun dalam politik dan bekerja hingga lewat pagi adalah perkara biasa terutama dalam kempen pilihanraya.
“Bagi saya, masalah saya seorang wanita bukanlah isu besar untuk rakyat bertemu saya jika saya dipilih nanti,” katanya. – MalaysiaGazette















