KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) berpendirian, tindakan Datuk Seri Najib Razak memohon kebenaran memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh adalah tidak wajar, bersifat prejudis serta pramatang.
Agensi itu dalam kenyataannya menyatakan, isu yang dibangkitkan dalam permohonan tersebut merupakan subjek rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan yang mana pendengarannya ditetapkan pada 1 dan 2 Julai ini.

Sehubungan itu, AGC menyeru semua pihak supaya memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan meneliti dan memutuskan isu perundangan dan fakta yang dikemukakan tanpa tekanan, spekulasi atau tindakan luar yang boleh mengganggu perjalanan keadilan.
“Keadilan mesti ditegakkan mengikut kerangka kedaulatan undang-undang, bukan melalui kenyataan awam atau litigasi selingan.
“AGC tidak akan teragak-agak untuk memohon supaya prosiding komital (menghina mahkamah) itu diketepikan kerana ia satu penyalahgunaan proses mahkamah, ” katanya.
Agensi berkenaan mengeluarkan kenyataan itu susulan tindakan bekas Perdana Menteri memfailkan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin yang kini hakim Mahkamah Persekutuan agar beliau dipenjarakan kerana menghina mahkamah berkaitan titah adendum.
Permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap hakim Mahkamah Persekutuan itu difailkan melalui Tetuan Shafee & Co., Rabu lalu.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/05/23/najib-fail-prosiding-hina-mahkamah-terhadap-ahmad-terrirudin/
Firma guaman itu dalam kenyataan hari ini berkata, titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ditujukan secara langsung kepada Ahmad Terrirudin dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara pada masa tersebut agar ia dilaksanakan.
“Ini menunjukkan beliau mempunyai pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan dan kandungan titah berkenaan,” kata kenyataan firma tersebut.
Menurut firma itu, walaupun Ahmad Terrirudin mempunyai pengetahuan mengenainya, Najib menegaskan bahawa bekas Peguam Negara semasa memegang jawatan tersebut didakwa telah mengarahkan pegawai-pegawainya supaya mengelirukan Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan untuk memulakan semakan kehakiman.
Bagaimanapun, AGC dalam kenyataannya berkata, sebagai mantan Peguam Negara, Ahmad Terrirudin menjalankan tugas-tugas beliau selaras dengan fungsi perlembagaan jawatan itu.
“Dakwaan bahawa beliau mengelirukan mahkamah adalah tidak berasas sama sekali dan kini sedang diteliti oleh badan kehakiman tertinggi negara,” katanya.
Menurut kenyataan AGC, isu-isu yang dijadikan asas kepada permohonan komital akan dihujahkan secara menyeluruh dalam prosiding rayuan itu.
Ujarnya, Mahkamah Tinggi pada 28 April lalu membenarkan penangguhan terhadap semua prosiding sehingga keputusan rayuan itu diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, pada 22 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut mengesahkan secara bertulis bahawa penangguhan itu meliputi semua prosiding sedia ada dan akan datang yang berkaitan dengan kes itu termasuk prosiding penghinaan mahkamah.
Katanya, sebarang cubaan untuk memulakan atau meneruskan prosiding penghinaan semasa perintah penangguhan masih berkuat kuasa adalah satu tindakan yang secara langsung melanggar perintah mahkamah dan menjejaskan pentadbiran keadilan yang teratur. – MalaysiaGazette
















