Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli bercakap kepada media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) ketika di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2025.
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli bercakap kepada media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) ketika di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2025.

JOHOR BAHRU – Ketiadaan wakil Barisan Nasional (BN) dalam Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini berpunca daripada kegagalan pihak tersebut memberikan sebarang maklum balas terhadap jemputan yang telah dihantar.

Ketua AMK, Adam Adli Abd Halim berkata jemputan rasmi telah pun disampaikan kepada parti komponen kerajaan perpaduan itu, namun tiada respon diterima sehingga hari berlangsungnya kongres.

“Ya, kita sudah keluarkan surat jemputan tetapi mereka (BN-UMNO) tidak hadir. Kita juga sudah jemput Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk rasmikan kongres, tetapi mereka tidak dapat penuhi jemputan.

“Perasaan biasa sahaja, tiada rasa kecil hati atau apa-apa,” katanya kepada media selepas merasmikan kongres berkenaan di Berjaya Waterfront, di sini, hari ini.

Adam mengulas mengenai ketiadaan wakil daripada BN-UMNO dalam kongres tersebut, termasuk juga dalam Kongres Wanita PKR yang berlangsung serentak di Danga Bay Hotel.

Mengulas perkembangan dalaman PKR, Adam menyatakan keyakinan bahawa parti akan kembali kukuh selepas proses pemilihan berakhir esok.

“Semua pihak yang terlibat dalam pemilihan ini adalah individu yang taat dan setia pada parti, mereka bertelagah kerana masing-masing setia.

“Perpecahan hanya berlaku sekiranya tiada usaha penyatuan semula. Waktu pemilihan memang suasana agak tegang, tetapi yang paling mustahak selepas pertembungan adalah tautkan kembali hubungan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast