Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Kerjasama yang terjalin melalui Pusat Pemimpin ASEAN (ASEAN Leaders’ Centre) disifatkan sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi serantau.

Ini khususnya dalam mencipta peluang perniagaan baharu yang memberi manfaat langsung kepada sektor swasta dan komuniti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui platform itu, keputusan dan polisi yang digubal bersama tidak hanya melibatkan kerajaan semata-mata tetapi turut mendapat input daripada sektor perniagaan dan masyarakat sivil yang terlibat secara langsung dalam ekosistem pembangunan ekonomi ASEAN.

“Kerjasama dengan ASEAN Leaders’ Centre adalah keuntungan perniagaan. Mereka membantu memastikan keputusan dan perkembangan dasar dapat disampaikan dengan lebih pantas,” katanya dalam sesi sua muka antara Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur  hari ini.

Menurut Anwar, kewujudan Majlis Penasihat ini membolehkan pihak industri dan komuniti menyuarakan pandangan mereka secara langsung dalam setiap pertemuan ASEAN.

Ia secara tidak langsung menjadikan proses pembuatan dasar lebih terbuka dan berpaksikan realiti semasa.

“Beberapa keputusan telah kita capai melalui libat urus bersama sektor dan komuniti. Ini penting untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang memberikan impak terus kepada ekonomi negara dan rantau ini,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan perubahan landskap global yang semakin kompleks menuntut ASEAN untuk bertindak lebih tangkas dalam memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul, sambil menyesuaikan diri dengan cabaran geopolitik dan perubahan pasaran dunia.

“Dengan dunia yang semakin mencabar dan kuasa besar terus menunjukkan pengaruh mereka, kita perlu memperkukuh kekuatan dalam negara dan rantau ini untuk memastikan kejayaan ASEAN secara kolektif,” ujarnya.

Selain itu, peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun 2025 perlu memastikan keterlibatan aktif pelbagai pihak dalam memacu pertumbuhan serantau yang mampan dan berdaya saing.

Ia menunjukkan platform ASEAN Leaders’ Centre ini bukan sahaja menjadi saluran strategik antara pemimpin dan pembuat dasar malah berperanan memperluas jaringan perniagaan rentas negara dalam kalangan syarikat, usahawan dan pelabur ASEAN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast