Sabah State Administrative Center in Kota Kinabalu, Sabah.

KUALA LUMPUR – Pilihan raya Sabah dijangka meriah dengan pelbagai pakatan dan parti menyuarakan hasrat untuk bertanding.

Gabungan seperti PH,-BN, Warisan+, dan GRS, selain parti-parti komponen lain akan memukau, jika tidak mengelirukan, pengundi dan pemerhati.

Terbaru, Presiden Gerakan, Dominic Lau, berkata, partinya telah mengenal pasti tiga kerusi dengan ramai pengundi Cina, tetapi keputusan akhir untuk bertanding bergantung kepada kajian pendapat bulan depan.

“Walaupun kami berniat untuk bertanding, kami perlu tahu terlebih dahulu sama ada pengundi tempatan menerima Gerakan, PN dan calon yang ditawarkan. Keputusan akhir akan dibuat selepas menerima laporannya,” katanya seperti dipetik Kwong Wah Yit Poh.

Menurut Dominic, keadaan di Sabah belum menentu dan hala tuju parti-parti di negeri itu juga samar.

Beliau berkata, Gerakan yang merupakan parti komponen PN akan melakukan pelbagai program sebagai persediaan menghadapi pilihan raya itu, walaupun tidak mengumumkan tiga kerusi yang diintai Gerakan.

Terdahulu, BN dan PH dilapor akan bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Sabah. Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kerjasama tersebut.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, pula menjelaskan bahawa kerjasama itu termasuk hal pembahagian kerusi.

Sementara itu, UMNO Sabah menyatakan mahu bertanding 40 kerusi dan menyerahkan baki 33 kerusi kepada PH.

Kenyataan itu segera mengundang tindak balas daripada pemimpin GRS, yang melontarkan persoalan mengenai “parti Sabah dan parti Semenanjung”.

Naib Presiden GRS, Datuk Masiung Banah, berkata, GRS menyasar untuk bertanding di 52 kerusi dan menyerahkan 21 kerusi kepada parti-parti nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast