PONTIAN – Dakwaan UMNO sudah meninggalkan perjuangan membela nasib Melayu dan bumiputera selepas bekerjasama dalam kerajaan Perpaduan adalah tidak benar sama sekali.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti berkenaan tidak pernah mengabaikan hak dan kepentingan orang Melayu dan bumiputera.
Malah kata Ahli Parlimen Pontian itu, perjuangan tersebut kekal utuh sejak penubuhan parti dan termaktub jelas dalam asas serta tujuan perlembagaan UMNO.
“UMNO tidak pernah berhenti untuk memperjuangkan Melayu, sejak penubuhannya sehingga sekarang. Dengan siapa pun kita memerintah, kita tidak pernah meninggalkan perjuangan berkenaan.
“Sebab perkara itu termaktub dalam perlembagaan UMNO,” katanya selepas ditemui pada majlis korban anjuran UMNO Bahagian Pontian di Kampung Parit Stan Benut di sini semalam.
Beliau mengulas mengenai inisiatif terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menghimpunkan orang Melayu di bawah satu payung besar melalui Sekretariat Orang Melayu.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, walaupun UMNO kini bersama-sama Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Perpaduan, perjuangan untuk membantu Melayu serta Bumiputera tetap diteruskan.
“Di Malaysia ini, dianggarkan Melayu seramai 70.1 peratus, Cina 22.6 peratus, India 6.6, peratus dan lain-lain 0.7 peratus.
“Perjuangan UMNO dalam mukadimah asas dan tujuan menyebut tentang Melayu bumiputera termasuk di Sabah, Sarawak termasuk orang asli,” katanya.
Tambah beliau, UMNO melihat kedudukannya dalam kerajaan Perpaduan kini sebagai satu kelebihan untuk terus memperjuangkan kepentingan Melayu dan bumiputera secara lebih menyeluruh.
Jelasnya, UMNO bukan hanya perjuangan utamanya untuk Melayu Bumiputera, tetapi pada masa yang sama berjuang untuk kaum lain.
“UMNO tidak pernah berhenti berjuang sejak dahulu hingga sekarang. Walau siapa pun kita bersama dalam kerajaan, perjuangan itu tidak pernah kita tinggalkan,” katanya
Mengulas mengenai tindakan Dr Mahathir yang kembali membawa agenda Melayu menerusi Sekteriat Orang Melayu, Ahmad menyifatkannya sebagai sementara.
“Dulu Tun buat gagasan Melayu, tapi tidak lama. Ia hanya bertujuan politik. Payung kita lebih besar. Kita dalam Kerajaan Perpaduan ada 18 parti.
“Payung besar ini memayungi lebih ramai, termasuk Bumiputera di Sabah, Sarawak, orang Asli dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Ahmad turut menekankan komitmen kerajaan dalam memartabatkan ekonomi bumiputera melalui pelaksanaan Kongres Ekonomi Bumiputera.
“Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kemudian ulang tahun KEB, baru-baru ini, dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO.
“Ini bukti kita (UMNO) dalam kerajaan tidak berhenti bekerja untuk Bumiputera,” katanya lagi.- MalaysiaGazette















