Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal melibatkan semua pembeli tanpa pengecualian dalam skim diskaun bagi pembelian hartanah, sebagai usaha menegakkan prinsip keadilan sosial.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pendekatan itu diambil selepas pihaknya menerima pelbagai reaksi susulan pengumuman pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim untuk pembelian unit hartanah siap yang belum terjual.

Katanya, terdapat banyak maklum balas menyarankan supaya inisiatif tersebut tidak terhad kepada kumpulan tertentu, sebaliknya ditawarkan secara umum untuk membantu merancakkan kembali sektor hartanah negeri.

“Saya telah meminta Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S. Sundarajoo, untuk menyemak semula dasar sedia ada bersama pemaju agar insentif ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

“Pendekatan yang lebih terbuka dan menyeluruh ini diyakini mampu memberi faedah kepada masyarakat secara lebih adil,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Tambah beliau, cadangan berkenaan akan dikemukakan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) untuk diperhalusi dan diputuskan demi kepentingan bersama.

ARTIKEL BERKAITAN

Diskaun hartanah India Muslim tak jejas kuota bumiputera – Sundarajoo

Pulau Pinang kaji semula insentif hartanah kepada India Muslim

Pada Khamis lalu, Kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan insentif diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit kediaman dan komersial menerusi dasar baharu, Dasar Pemangkin Momentum Sektor Hartanah dan Pemilikan Rumah Inklusif MADANI (MADANI Home Ownership Campaign – MOC).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo, berkata, insentif itu berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026, khusus kepada golongan India Muslim yang berminat untuk memiliki hartanah di negeri ini.

Selain itu, beliau berkata, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) turut memperkenalkan kategori khas Rumah MutiaraKu Jenis D (RMKu D) dengan harga siling maksimum RM400,000, dikhususkan kepada pembeli berpendapatan isi rumah sehingga RM15,000 sebulan.

“Unit di bawah kategori ini tidak dibenarkan dijual di pasaran terbuka dan tidak boleh dijadikan pematuhan kepada syarat pembangunan.

“Antara insentif lain di bawah dasar MOC termasuk pengurangan kadar sumbangan bagi pemaju yang tidak menyediakan unit RMKu Jenis A atau B secara fizikal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast