Suspek kes kelar isteri hingga mati akan didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak, Tangkak esok.

TANGKAK – Lelaki yang disyaki mengelar isteri menggunakan pisau pemotong sayur hingga maut di Taman Cahaya, Bukit Gambir Isnin minggu lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini esok.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, suspek yang berusia 33 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Suspek juga akan berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

“Kertas siasatan terhadap suspek telah lengkap dan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Johor (PPNJ).

“Polis menerima arahan supaya pertuduhan ke atas suspek dijalankan di Mahkamah Majistret Tangkak esok,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, pada 4 Jun lalu portal ini melaporkan suspek direman selama tujuh hari dan berakhir esok.

Dalam kejadian antara pukul 4.15 hingga 4.30 petang, 2 Jun lalu, suspek disyaki mengelar isterinya berusia 34 tahun yang bekerja sebagai kerani hingga maut di sebuah taman perumahan di Bukit Gambir di sini.

Sebaik mengelar isteri, suspek kemudian melarikan diri ke rumah keluarga mentuanya di Kampung Durian Chondong di sini lalu bertindak membakar kenderaan.

Bagaimanapun tindakan suspek disedari ahli keluarga mentua terbabit sebelum lelaki itu melarikan diri dan pulang ke rumahnya di Bukit Gambir sebelum diberkas polis.

Motif perbuatan suspek itu adalah perselisih faham dalam keluarga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast