KUALA LUMPUR – Agrobank membuka penyertaan Agro Biz Awards 2025 bermula hari ini sehingga 31 Julai 2025.
Agro Biz Awards merupakan sebuah anugerah berprestij bertujuan menghargai kecemerlangan dan sumbangan luar biasa pemain industri komuniti tani dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
Anugerah yang mensasarkan perniagaan dan usahawan dalam pelbagai sekor komuniti tani ini bakal mempertaruhkan lima kategori utama termasuk:
• Agrobank SME of the Year : Mengiktiraf perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang yang menunjukkan kecemerlangan dalam operasi perniagaan mereka.
• Agrobank Biz Women Award : Mengiktiraf usahawan wanita yang menjadi pelopor dan mentor kepada wanita lain yang menceburi sebarang aktiviti perniagaan merangkumi keseluruhan rantaian bekalan makanan.
• Agrobank Biz Youth Award : Mengiktiraf usahawan muda yang berumur antara 18 hingga 40 tahun yang menerajui sektor pertanian dan agromakanan dalam usaha meningkatkan keterlibatan generasi belia lain.
• Agrobank Biz Innovation Award : Mengiktiraf individu, syarikat atau organisasi yang telah menunjukkan inovasi luar biasa dalam meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan agromakanan.
• Agrobank Biz Disability Empowerment Award : Mengiktiraf usahawan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai simbolik penghargaan atas sumbangan dan pencapaian mereka dalam sektor pertanian dan agromakanan.
Pemain industri komuniti tani yang berminat untuk menyertai anugerah ini boleh memuat turun borang penyertaan melalui portal rasmi Agrobank di www.agrobank.com.my.
Sebagai alternatif, borang penyertaan boleh didapati di cawangan Agrobank berhampiran di seluruh Malaysia.
Borang penyertaan yang telah dilengkapkan hendaklah diserahkan ke cawangan Agrobank terdekat berserta dengan dokumen sokongan yang diperlukan.
Para peserta diwajibkan untuk mengemukakan laporan pencapaian komprehensif sebagai indikator impak positif perniagaan dalam sektor pertanian dan agromakanan.
Sebagai bahan sokongan, peserta juga dikehendaki menyediakan video penyertaan berdurasi tidak melebihi tiga minit.
Calon terpilih akan dihubungi untuk menghadiri sesi temu duga dan pembentangan bagi memperkukuh permohonan penyertaan.
Kesemua kriteria kelayakan dan prosedur pencalonan adalah terikat dengan terma dan syarat yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette















