Ketua Cabang Sungai Siput yang baharu, Novinthen Krishnan.

KUALA LUMPUR – Cabang Keadilan Sungai Siput menyatakan sokongan penuh terhadap pendekatan Timbalan Presiden PKR, YB Nurul Izzah Anwar yang memilih untuk bekerja secara senyap dalam menangani isu-isu membabitkan komuniti India.

Ketua Cabangnya, Novinthen Krishnan berkata, pendekatan tersebut bukan bermaksud Nurul Izzah berdiam diri, sebaliknya beliau sedang menjalankan perancangan rapi melibatkan pelbagai pihak bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang lebih berkesan.

“Apa yang kita perlukan hari ini bukan lagi suara yang kuat di pentas ceramah, tetapi tindakan senyap yang menghasilkan keputusan nyata,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama masyarakat India.

Beliau berkata masyarakat India di kawasan seperti Sungai Siput telah terlalu lama dibelenggu isu berulang dari keciciran pendidikan hinggalah kepada kesempitan ekonomi yang mewarisi kemiskinan dari satu generasi ke generasi lain.

Novinthen yang berkongsi realiti yang disaksikannya sendiri dalam lawatan ke beberapa ladang dan kampung berkata, paling menyedihkan ialah apabila keluarga tidak mampu menyediakan tambang bas sekolah sehingga anak-anak terpaksa ponteng berhari-hari.

Dedah beliau, ada sebuah tadika, hanya 18 daripada 72 murid mampu membayar yuran bulanan sebanyak RM50.

“Ada ibu tunggal yang tidak boleh keluar bekerja kerana terpaksa menjaga anak kecil, tiada pengangkutan awam, dan terlalu bergantung pada bantuan yang tidak menentu. Ini bukan lagi cerita luar biasa, tetapi sudah menjadi realiti harian,” katanya.

Lebih membimbangkan, hasil pemeriksaan kesihatan di beberapa sekolah Tamil mendapati ramai murid yang datang ke sekolah dalam keadaan lapar dan tidak bertenaga, kata Novinthen yang menyifatkan masalah ini sebagai satu ‘kecemasan sosial’ yang memerlukan intervensi segera.

“Apabila satu sekolah Tamil ambil inisiatif sediakan sarapan setiap pagi, kehadiran murid dari keluarga miskin meningkat ketara. Ini membuktikan perkara kecil seperti makanan pun boleh jadi pemangkin kepada perubahan besar,” ujarnya.

Berkaitan belia, Novinthen berkata, ramai masih terperangkap dalam pekerjaan kilang dan ladang dengan gaji rendah, tanpa ruang untuk peningkatan kemahiran, justeru beliau menyokong penuh pendekatan Nurul Izzah yang lebih fokus kepada penyusunan dasar jangka panjang.

Ini termasuklah kerjasama dengan Yayasan Iltizam Malaysia, Sustainable Initiative for Community Change (SICC), ahli ekonomi dan NGO.

“Masyarakat India dah letih dengan janji politik. Kita perlukan tindakan, bukan persepsi. Dan itulah yang sedang diusahakan oleh Nurul Izzah bukan sekadar membuat kenyataan tapi membina pelan tindakan yang konkrit.

“Antara usaha yang diyakini mampu membawa perubahan termasuk cadangan penubuhan 40 makmal komuniti untuk wanita dan belia India dalam tempoh lima tahun yang mana inisiatif ini tidak melupakan keperluan ibu tunggal yang memerlukan fleksibiliti masa bekerja.

“Bayangkan jika mereka boleh jana pendapatan dari rumah dengan bantuan latihan dan platform digital seperti media sosial. Ramai syarikat hari ini perlukan hos siaran langsung dan pencipta kandungan kita perlu latih dan buka jalan,” katanya lagi.

Beliau turut menyarankan agar konsep perusahaan mikro seperti jahitan, pembungkusan dan perkhidmatan sokongan dihidupkan semula sebagai kaedah menjana pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan tunai.

Selain itu, Novinthen turut memuji cadangan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai wajib, namun mengingatkan pelaksanaan dasar itu tidak boleh sekadar memaksa pendaftaran, tetapi perlu menyelesaikan masalah akar umbi seperti kos tersembunyi, pengangkutan dan waktu operasi yang tidak fleksibel.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan program pemerkasaan mikro di ladang-ladang serta klinik komuniti bergerak yang boleh memberi rawatan kesihatan asas dan sokongan mental kepada wanita, khususnya ibu tunggal yang selama ini memikul beban emosi dalam diam.

“Kesejahteraan emosi dan fizikal ibu tunggal mesti jadi keutamaan. Kalau mereka kuat, keluarga akan stabil, dan masa depan anak-anak akan lebih cerah.

“Pendekatan seperti ini perlu diberi ruang dan dinilai berdasarkan hasil sebenar, bukan sekadar persepsi atau suara lantang di media.

“Saya bersedia bekerjasama dalam apa jua usaha yang benar-benar bawa manfaat kepada komuniti India. Keadilan bukan slogan ia adalah amanah untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang terus dilupakan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Saravanan cabar Nurul Izzah buktikan hasil ‘kerja dalam diam’ untuk masyarakat India

Sanjeevan sindir Nurul Izzah: Cukup bekerja dalam diam, rakyat mahu bukti

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast