Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang pengawal keselamatan dipukul seorang lelaki Bangunan Hong Yuan Hills, Jalan Panggung, Kluang, Khamis lalu.

KLUANG – Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menyamun menggunakan besi dan kayu terhadap seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di Bangunan Hong Yuan Hills, Jalan Panggung di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek berusia 27 tahun beralamat di Kampung Kuala Temekah, Kuala Ketil, Kedah ditahan kelmarin.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 3.30 pagi ketika mangsa sedang bertugas telah didatangi suspek lelaki tempatan bersenjatakan sebatang besi dan kayu.

“Suspek terus memukul pengadu di bahagian badan dan kepala menggunakan kayu dan mengambil sebuah telefon bimbit jenama Nokia serta seutas jam tangan yang diletakkan atas meja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Bahrin, mangsa mengalami bengkak di bahagian kepala, belakang badan serta bahagian tangan dipukul suspek.

Mangsa yang merupakan warga emas berusia 68 tahun mengalami kerugian RM300 selepas jam tangan dan telefon bimbitnya dilarikan suspek.

Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Jenayah Daerah Kluang berjaya menangkap saspek di Jalan Jelutong di sini pukul 10.30 pagi.

“Suspek mempunyai tiga rekod Jenayah dan satu rekod dadah. Ujian air kencing mendapatinya negatif dadah,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan suspek direman lima hari bermula hari ini.

Menurut beliau, kes sudah dirujuk kepada pihak pendakwaan dan akan dituduh di mahkamah pada Rabu ini.

Terdahulu tular video dalam Facebook memaparkan seorang lelaki memukul seorang pengawal keselamatan di depan sebuah bangunan tanpa belas kasihan.

Dalam rakaman itu pengawal keselamatan tersebut menjerit semasa dipukul sebelum suspek mengambil barang-barang miliknya dan beredar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast