Kementerian Pengajian Tinggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dengan Indonesia untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelajar antarabangsa.

Antara bidang kerjasama yang dipersetujui untuk diperkukuhkan termasuklah penyelidikan dan mobiiti pensyarah serta pelajar dalam bidang-bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi tenaga boleh diperbaharui dan aeroangkasa, juga merangkumi kolaborasi pendidikan tinggi yang telah terjalin.

Perkara itu dipersetujui susulan lawatan kerja Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim ke Indonesia selama dua hari bermula 11 Julai 2025.

KPT berkata, Indonesia merupakan antara negara yang tertinggi menghantar pelajarnya menyambung pengajian di negara ini iaitu seramai 11,293 (sehingga Mac 2025)sehingga Disember 2024 dan sebanyak 464 perjanjian kolaborasi antara institut pengajian tinggi antara kedua-dua negara dibuat termasuk mobiliti pelajar dan pengajar untuk menjalani program pembangunan kapasiti.

Penawaran biasiswa kepada pelajar antarabangsa (Malaysia International Scholarship) yang ingin melanjutkan pengajian di IPT Malaysia turut ditawarkan dan sehingga Disember 2024, seramai 21 pelajar warga Indonesia telah menerima manfaat.

Education Malaysia Global Services (EMGS), sebuah agensi di bawah KPT memainkan peranan signifikan dalam mempromosikan pendidikan tinggi negara, terus mempergiat usaha promosi dan pemasarannya.

Selain itu, antara inisiatif lain adalah ASEAN Global Exchange Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS) yang merupakan platform atas talian yang memberi maklumat biasiswa yang ditawarkan negara ASEAN.

Sehingga kini, lebih 300 penyedia biasiswa menyertai dengan komitmen lebih RM19 juta yang boleh dimanfaatkan pelajar-pelajar untuk melanjutkan pengajian tinggi.

KPT yakin dengan usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa ini berupaya meningkatkan imej negara di mata dunia.

Katanya, dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi yang selari keperluan semasa ini juga mampu membawa negara bersaing di peringkat global selari dengan teras Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta serta keyakinan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast