Gambar hiasan

KUALA LUPUR – Rakyat Malaysia amat menyokong minyak sawit yang dihasilkan secara lestari dan meletakkan kepercayaan tinggi terhadap skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Namun, tinjauan kebangsaan yang dijalankan oleh Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA) mendapati masih terdapat salah tanggapan berkaitan kesihatan yang masih berterusan dan perlu ditangani, terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia yang lebih muda, yang bakal membentuk
masa depan industri ini.

Tinjauan yang dijalankan pada tahun 2024 oleh firma penyelidikan bebas, Green Zebras (GZ), melibatkan 1,000 responden berumur antara 18 hingga 50 tahun di seluruh Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

Hasil kajian menunjukkan 62% rakyat Malaysia percaya minyak sawit dihasilkan secara mesra alam.

Dalam kalangan mereka yang mengetahui tentang pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), 96% bersetuju pensijilan bebas adalah penting.

Selain itu, 99% percaya MSPO menyokong amalan buruh yang adil, manakala 75% menyatakan kerajaan telah memberi keutamaan kepada kelestarian.

Joseph Janting

Presiden TRADA, Joseph Janting, menyambut baik hasil tinjauan tersebut menyatakan kepercayaan orang ramai terhadap minyak sawit mampan semakin meningkat, selain mengiktiraf peranan kepimpinan Malaysia dalam pengeluaran yang bertanggungjawab.

“Tinjauan ini menunjukkan rakyat Malaysia memahami kepentingan kelestarian, dan bahawa MSPO memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan. Sokongan berterusan orang ramai terhadap usaha memperkukuh piawaian industri amat menggalakkan,” katanya.

Namun begitu, Joseph bimbang terhadap salah tanggapan berkaitan kesihatan yang masih wujud.

Katanya, walaupun 54% menganggap minyak sawit sebagai pilihan yang sihat, 37% masih mengaitkannya dengan paras kolesterol yang tinggi.

“Agak mengejutkan apabila walaupun kebanyakan rakyat Malaysia menggunakan minyak sawit dalam masakan harian, masih ramai yang tidak pasti sama ada ia baik untuk kesihatan mereka. Ini menunjukkan lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membantu orang ramai memahami fakta sebenar,” katanya.

Beliau menekankan kepentingan melibatkan golongan muda dalam usaha pendidikan awam, khususnya di kawasan seperti Sarawak yang mana ramai anak muda mempunyai kaitan secara langsung dengan komuniti pertanian.

“Anak muda Malaysia, terutamanya di Malaysia Timur, mempunyai kepentingan peribadi dalam masa depan industri sawit. Mereka adalah generasi pengguna, penyampai maklumat dan pengeluar yang seterusnya.

“Adalah penting untuk mereka dilengkapi dengan pengetahuan yang tepat dan berasaskan sains supaya mereka dapat bercakap dengan yakin tentang apa yang sebenarnya diwakili oleh industri ini,” tambahnya.

Oleh itu, TRADA menyeru agar satu usaha bersepadu di peringkat nasional digerakkan bagi meningkatkan pemahaman mengenai profil kesihatan minyak sawit, piawaian kelestarian serta sumbangannya kepada ekonomi.

Ini termasuk kerjasama dengan kementerian, universiti, kumpulan belia, pakar kesihatan dan NGO bagi menyampaikan maklumat yang tepat dan mudah diakses melalui platform pendidikan, media sosial dan program libat urus komuniti.

Joseph menambah, peranan MSPO dalam memperkukuh amalan lestari perlu disusuli dengan tahap kesedaran awam yang lebih baik.

“MSPO telah membantu meningkatkan piawaian dalam pengeluaran minyak sawit di Malaysia. Namun untuk memastikan kemajuan ini berterusan, rakyat Malaysia terutamanya golongan muda perlu faham mengapa MSPO itu penting.

“Mereka perlu yakin bahawa minyak sawit bukan sahaja dihasilkan secara bertanggungjawab, malah baik untuk dimakan. Dengan membekalkan generasi akan datang dengan ilmu dan kefahaman yang jelas, Malaysia dapat terus menerajui pentas global – bukan sahaja dalam aspek pengeluaran, tetapi juga dari segi ketelusan, kebertanggungjawaban dan kepercayaan awam,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast