KUALA LUMPUR – Perdagangan borong & runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM154.3 bilion pada Mei, merekodkan pertumbuhan 4.4 peratus tahun ke tahun.
Peningkatan dalam jualan perdagangan borong dan runcit pada Mei 2025 didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong.
Subsektor perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan RM67.1 bilion, meningkat sebanyak RM3.1 bilion atau 4.9 peratus tahun ke tahun manakala subsektor perdagangan borong mencatatkan RM68.2 bilion, meningkat sebanyak RM3.1 bilion atau 4.7 peratus.
Subsektor kenderaan bermotor mencatatkan jualan sebanyak RM19.0 bilion dengan kenaikan tahun ke tahun sebanyak RM0.2 bilion atau 1.2 peratus.
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, jualan runcit di kedai bukan pengkhususan merekodkan peningkatan sebanyak 4.0 peratus tahun ke tahun kepada RM25.9 bilion. Jualan runcit di kedai pengkhususan turut menunjukkan prestasi positif dengan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus kepada RM14.1 bilion.
Sementara itu, Jualan runcit peralatan isi rumah merekodkan pertumbuhan 5.6 peratus tahun ke tahun, berjumlah RM7.7 bilion.
Selain itu, Jualan runcit bahan api kenderaan dan Jualan runcit makanan, minuman & tembakau turut mencatatkan pertumbuhan, masing-masing sebanyak 5.7 peratus dan 6.4 peratus.
Jualan borong barangan isi rumah mencatatkan peningkatan 7.4 peratus tahun ke tahun, mencapai RM14.7 bilion.
Jualan borong makanan, minuman & tembakau juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 7.7 peratus kepada RM14.1 bilion, tambah jabatan itu.
Di samping itu, lain-lain pengkhususan jualan borong juga menyumbang kepada prestasi keseluruhan sub-sektor ini dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus kepada RM24.6 bilion.
Sementara itu,jualan borong jentera, kelengkapan dan bekalan mencatatkan pertumbuhan 5.1 peratus tahun ke tahun, berjumlah RM5.4 bilion.
Subsektor kenderaan bermotor mencatatkan peningkatan jualan berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh kenaikan 0.2 peratus dalam jualan kenderaan bermotor, mencecah RM9.9 bilion.
Ini diikuti dengan pertumbuhan 2.1 peratus dalam jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor kepada RM5.1 bilion.
Sementara itu, jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal turut mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus tahun ke tahun, mencapai RM1.2 bilion.
Jualan runcit dalam talian pada Mei mencatatkan peningkatan dengan indeks meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun.
Namun begitu, selepas pelarasan musim, indeks merekodkan penurunan -3.4 peratus bulan ke bulan.
Dari segi indeks volum, perdagangan borong & runcit mencatatkan kenaikan 4.1 peratus tahun ke tahun.
Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh subsektor Perdagangan borong yang meningkat 5.8 peratus, diikuti oleh perdagangan runcit dengan kenaikan sebanyak 3.7 peratus.
Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan peningkatan marginal 0.1 peratus pada bulan ini.
Dari segi pelarasan musim, indeks volum kembali positif dengan 1.6 peratus bulan ke bulan berbanding April 2025. – MalaysiaGazette















