KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan sepenuhnya kejadian kes seorang pelajar yang menumbuk guru dalam insiden yang berlaku di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di daerah Kajang, semalam kepada pihak polis.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, di peringkat kementerian, pihaknya akan mengendalikan kes itu berdasarkan peraturan sedia ada.
“Di peringkat KPM, kita ada peraturan dan peraturan kita itu berjalan.
“Tapi, dalam masa yang sama, apabila pihak autoriti seperti polis telah mengambil alih kes itu, maka kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyambut kepulangan pelajar kumpulan orkestra Sekolah Seri Puteri, Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah malam tadi.
SPWinds mencipta sejarah menjadi wakil tunggal negara dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas dalam Festival Orkestra Dunia ke-11 yang berlangsung di Vienna, Austria yang berlangsung pada Rabu hingga Sabtu lalu.

Semalam, tular video yang memaparkan pergelutan seorang pelajar dengan gurunya yang didakwa disebabkan rasa tidak puas hati selepas ditegur kerana ponteng kelas pendidikan jasmani.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, ketika bergelut pelajar terbabit mula mengugut dan menumbuk muka guru tersebut yang ketika itu disaksikan oleh beberapa orang guru dan pelajar lain.
Susulan itu, menurutnya, pelajar lelaki berumur 14 tahun warga tempatan berkenaan telah ditahan reman selama dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan.
Sementara itu, ditanya sama ada KPM akan memanggil guru dan pihak yang merakam video berkenaan memandangkan kejadian tersebut berlaku di dalam sekolah, Fadhlina menjelaskan, aspek kaunseling terhadap guru terlibat juga akan diberi perhatian oleh KPM.
“Kita akan bagi tumpuan khususnya untuk sesi kaunseling kepada guru juga kerana saya fikir sokongan kepada guru kita juga penting untuk kesejahteraan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















