GEORGE TOWN – Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad menegaskan keputusan PKR Cabang Ampang menerima permohonan keahlian bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, tidak memberi sebarang kesan kepada UMNO.
Menurutnya, UMNO tidak memerlukan ahli politik yang hanya mementingkan kedudukan semata-mata, sebaliknya memerlukan mereka yang benar-benar setia dan mahu mengukuhkan parti.
“Kalau benar setia, beliau sepatutnya kekal dalam UMNO dan mengukuhkan kedudukan yang telah diberikan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Noor turut menyifatkan tindakan PKR itu bercanggah dengan semangat persahabatan politik dalam Kerajaan Perpaduan kerana UMNO sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan supaya parti-parti komponen tidak menarik ahli daripada parti rakan.
“Langkah seperti itu boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan antara parti-parti dalam kerajaan.
“Sepatutnya prinsip ini dipegang bersama. Tidak boleh ada konsep ‘hang tarik ahli parti aku, aku tarik ahli parti hang’ kerana ia tidak membantu memelihara persahabatan politik.
“Kita juga tak tahu sama ada tindakan PKR menerima Tengku Zafrul itu kerana parti berkenaan ketandusan pimpinan atau sekadar mahu memperkukuhkan kedudukan dalaman,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengesahkan permohonan keahlian beliau menyertai parti PKR telah diterima dua minggu lepas.
Perkara itu turut disahkan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang dilaporkan berkata, permohonan Tengku Zafrul diluluskan Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam mesyuarat pada 26 Julai lalu.
Terdahulu, Tengku Zafrul pada 30 Mei lalu, mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR. – MalaysiaGazette















