KUALA LUMPUR – PKR Cabang Ampang berpendapat masih terlalu awal untuk menentukan siapa calon Parlimen Ampang bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Ketuanya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet berkata, ini kerana pemilihan calon PKR tidak terikat kepada lokasi permastautin atau jawatan dalam parti serta mengalu-alukan penyertaan pelbagai latar belakang demi membina Malaysia yang adil dan progresif.
Namun katanya, cabang itu menyerahkan keputusan menentukan calon Ahli Parlimen Ampang kepada pucuk pimpinan tertinggi parti susulan nama Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz disebut-sebut bakal mengisi pencalonan kerusi itu nanti.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri sebelum ini mengesahkan sudah diterima menjadi ahli PKR Cabang Ampang, selepas mengambil keputusan meninggalkan UMNO pada Mei lalu.
“Kami menghormati proses pemilihan calon yang telus, adil dan mengambil kira pandangan semua peringkat.
Syed Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya berkata, cabang berkenaan sentiasa berpegang pada prinsip keterbukaan dan perpaduan dalam memperjuangkan agenda reformasi demi rakyat.
“Sehubungan itu, kami mengalu-alukan mana-mana individu, tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama menyertai PKR dalam usaha membina Malaysia yang lebih adil, makmur dan progresif.
“Cabang Ampang percaya kekuatan parti terletak pada kepelbagaian idea, tenaga dan komitmen ahli-ahli yang bernaung dibawah kepimpinan berteraskan prinsip,” katanya.
Sebelum ini, sebaik Tengku Zafrul mengesahkan penyertaannya sebagai ahli PKR Ampang, beberapa pihak pantas membuat spekulasi bahawa beliau bakal dinamakan sebagai calon di Parlimen berkenaan pada PRU akan datang. – MalaysiaGazette















