KUALA LUMPUR – Kestabilan politik menjadi faktor utama kejayaan negara dapat membangun sejak merdeka sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, senario itu juga memberikan ruang kepada kementerian dan agensi di bawahnya untuk merangka pelbagai inisiatif termasuk eksport komoditi negara yang mampu berkembang pesat.
“Negara ini dapat dibangunkan dengan begitu baik kerana kita mempunyai kestabilan politik. Sudah tentu kestabilan politik ini sangat penting oleh mana-mana negara untuk membangunkan ekonomi mereka kerana dengan adanya kestabilan politik, maka kita boleh dapat membangunkan ekonomi dengan begitu baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Perladangan dan Komoditi Tahun 2025 di Menara Lembaga Getah Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Foong Hin dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Johari menambah, sektor perladangan dan komoditi ketika ini meliputi hampir seluruh negara melibatkan Johor, Perlis, Sabah dan Sarawak, dengan kelapa sawit sahaja diusahakan di kawasan seluas 5.7 juta hektar dan membabitkan hampir 450,000 pekebun kecil.
Ujar beliau, agensi di bawah kementeriannya berjaya mencatatkan prestasi membanggakan dengan menghasilkan produk berkualiti tinggi yang diterima di pasaran antarabangsa sekali gus menyumbang kepada nilai eksport komoditi itu mencecah RM120 bilion.
Mengulas usaha penyatuan pekebun kecil getah, beliau berkata, pihaknya bersama Lembaga Getah Malaysia dan RISDA sedang menggabungkan kawasan getah milik pekebun kecil yang tidak diusahakan bagi mengaktifkan semula pengeluaran.
Katanya, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada import getah, memandangkan Malaysia kini mengimport 1.1 juta metrik tan walaupun pengeluaran domestik meningkat kepada 350,000 metrik tan.
“Dulu kita pengeksport getah nombor satu dunia tetapi sekarang kita terpaksa mengimport kerana hasil tidak diusahakan dengan baik. Jadi kita mahu perbaharui semula,” katanya.
Bagi penanaman semula pula, beliau memaklumkan ia akan diteruskan mengikut Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan tumpuan membantu pekebun kecil menanam semula komoditi masing-masing supaya menjadi sumber pendapatan berterusan kepada negara. – MalaysiaGazette
















