Pengamal Undang-Undang, Selvam Shanmugam

KUALA LUMPUR – Tindakan undang-undang yang difailkan oleh P Waytha Moorthy bagi membatalkan kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Tambun dan Perdana Menteri Malaysia disifatkan sebagai tidak berasas dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Peguam bela dan cara, Selvam Shanmugam menyifatkan saman tersebut bukan sahaja bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan, malah memperlekehkan kuasa prerogatif diraja dan mandat rakyat.

“Perintah Pengampunan Diraja yang diberikan pada 2018 adalah penuh dan tidak bersyarat. Ia secara jelas memadam segala bentuk kehilangan kelayakan di sisi undang-undang.

“Cabaran terhadap pengampunan tersebut adalah satu bentuk penghinaan terhadap kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini. 

Mengulas lanjut, Selvam menegaskan, tindakan plaintif memfailkan saman tanpa mendapatkan keizinan (fiat) daripada Peguam Negara adalah cacat dari segi prosedur dan boleh dianggap sebagai satu litigasi yang bersifat remeh dan menyusahkan mahkamah.

Selain itu, beliau berkata, cabaran terhadap keputusan pilihan raya seharusnya dibuat dalam tempoh 21 hari sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Saman ini difailkan lebih dua tahun selepas Pilihan Raya Umum, jelas melanggar had masa yang ditetapkan dan menunjukkan niat yang disengajakan untuk menyalahgunakan proses kehakiman,” tambahnya.

Selvam turut menegaskan bahawa plaintif tidak mempunyai locus standi memandangkan beliau bukan pengundi di kawasan Tambun, mahupun seorang pihak yang secara langsung terkesan.

“Mahkamah dalam kes ‘Government of Malaysia v Lim Kit Siang’ telah mempertegaskan bahawa tindakan berkepentingan awam tanpa locus standi dan tanpa fiat Peguam Negara tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa penyalahgunaan proses mahkamah sedemikian boleh mengundang tindakan penal di bawah Peraturan 18 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, Akta Profesion Undang-Undang 1976 serta hukuman kerana menghina mahkamah.

“Mahkamah mempunyai kuasa untuk menolak tindakan yang bersifat skandal, remeh atau menyalahgunakan proses kehakiman. Malah, seseorang peguam yang memfailkan tindakan tidak berasas boleh dikenakan tindakan tatatertib. Tindakan ini juga boleh dipertimbangkan sebagai cubaan menghina mahkamah,” tegasnya.

Sehubungan itu, Selvam menyeru mahkamah untuk menolak saman tersebut dan mempertimbangkan hukuman penal ke atas mana-mana pihak yang cuba mempergunakan institusi kehakiman bagi kepentingan politik.

“Perlembagaan Persekutuan adalah yang tertinggi, ia bukan alat untuk memenuhi cita-cita peribadi atau permainan politik,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast