KUALA LUMPUR – Mekanisme kompaun di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bukan `jalan pintas’ untuk menghalalkan rasuah.
Sebaliknya Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kes rasuah tetap dikategorikan sebagai jenayah berat yang perlu diadili.
Sehubungan itu, walaupun undang-undang memberi pilihan kompaun, rakyat mesti diyakinkan bahawa sistem kehakiman dan pendakwaan negara tidak menggadaikan prinsip integriti.
Jelasnya, persepsi bahawa `rasuah boleh dibayar untuk bebas’ perlu dielakkan dengan penjelasan yang telus daripada pihak berkuasa.
“MCW percaya bahawa penegakan undang-undang yang adil dan komunikasi yang jelas kepada rakyat adalah asas penting dalam usaha memerangi rasuah di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam yang melepas dan membebaskan Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkait projek Jana Wibawa yang dihadapinya.
Keputusan itu dibuat selepas Adam Radlan membuat pembayaran kompaun sebanyak RM4.1 juta pada Isnin lalu di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai berkenaan sama ada seseorang yang dituduh dalam kes rasuah boleh dibebaskan hanya dengan membayar sejumlah kompaun.
Menjelaskan kekeliruan itu, Jais berkata, mekanisme tersebut tidak wujud dalam undang-undang jenayah biasa dan tidak dianggap sebagai sabitan atau pengakuan bersalah.
Menurutnya, kompaun itu juga hanya untuk kesalahan AMLA iaitu berfungsi khusus bagi pertuduhan di bawah AMLA bukan bagi pertuduhan rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Pembayaran kompaun bukan bermaksud pesalah rasuah dilepaskan atau diampunkan sebaliknya ia adalah penyelesaian undang-undang untuk pertuduhan AMLA yang tidak boleh lagi diteruskan setelah kompaun dibayar,” katanya. – MalaysiaGazette
















