Ahmad Asri

SEGAMAT – Penduduk mendakwa terdapat satu bunyi yang kuat berlaku pukul 6.15 pagi tadi di daerah ini yang disangka guruh tetapi sebenarnya gempa bumi.

Seorang peniaga, Ahmad Asri Talib, 52, yang tinggal di Taman Pawana, Kampung Tengah di sini mendakwa, keadaan tersebut membuatkannya panik dan takut.

Menceritakan pengalaman berdepan gegaran pagi tadi, dia berkata, gempa bumi skala kecil itu menyebabkan tingkap dan pintu rumah depan bergegar seakan-akan ditendang.

“Mula-mula ingatkan bunyi guruh kerana bunyinya sangat kuat. Tetapi selepas itu bunyi tingkat dan sliding door bergegar seakan ditendang lebih kurang dalam tempoh 20 saat.

“Tidak lama selepas itu saya keluar rumah dan nampak jiran-jiran keluar rumah dan suasana jadi kecoh, barulah saya sedar memang ada gegaran,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ahmad Asri tidak menyangka berlaku gegaran seterusya pada pukul 9 pagi ketika berada di sebuah kedai makan di Pekan Jabi untuk bersarapan.

“Kali ini anak saya pucat, tapak kaki pun terasa getarannya. Saya sendiri rasa pening. Dalam tempoh kurang tiga jam berlaku lagi gegaran.

“Saya rasa agak terkejut dan saya memeriksa amaran gempa bumi dan tsunami di laman Jabatan Metrologi, tetapi tiada amaran tsunami,” ujarnya.

Jelasnya, gegaran gempa bumi kali ini mengingatkan gegaran yang berlaku pada tahun lalu yang terjadi di Segamat.

“Enam hingga tujuh kali gegaran saya rasa (pada tahun lalu) yang mana setiap kali gegaran, tingkap dan pintu bergegar mungkin dalam dua saat.

“Biasanya, orang ingat ada letupan kuari. Setahu saya, Segamat tidak mempunyai kuari cuma di daerah ini banyak bukit dan berbatu-batu,” katanya.

Ahmad Asri berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan memasang alat pengesan gempa bumi sebagai langkah awal mengesan sebarang gegaran di daerah ini.

Terdahulu, gegaran pertama bermagnitud 4.1 dilaporkan berlaku di daerah pada pukul 6.13 pagi tadi sebelum sekali lagi berlaku kira-kira pukul 9 pagi.

Pada masa sama, gegaran bermagnitud 2.8 direkodkan berlaku di Kluang juga pada pukul 9 pagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua lagi gegaran gempa bumi di Johor 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast