Norazlia menunjukkan kek jeli Hasilkan kek jeli tema Jalur Gemilang yang dihasilkan dalam bentuk 3D, 4D di rumahnya di Endau

MERSING – Seorang pengusaha kek jeli mendapat inspirasi sempena Hari Kebangsaan dengan dengan menghasilkan kek bertemakan Jalur Gemilang dalam bentuk tiga dimensi (3D) dan empat dimensi (4D).

Norazila Abdul Majid, 40, dari Endau di sini berkata, dia tidak menyangka cubaannya itu mendapat sambutan hangat pelanggan.

Katanya, kek jeli berunsurkan tema kemerdekaan itu biasanya ditempah oleh pihak sekolah, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meraikan sambutan kemerdekaan.

Antara rekaan yang mendapat tempahan termasuk motif kapal terbang Malaysia Airlines dan bunga kebangsaan.

Dia mula menceburi dunia pembuatan jeli 3D dan 4D itu pada penghujung 2022 selepas tempat kerjanya ditutup akibat pandemik Covid-19.

“Pada awalnya, saya hanya buat suka-suka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila syarikat agensi pelancongan tempat saya bekerja terpaksa ditutup. Dari situlah saya mula serius mengusahakan kek jeli 3D dan 4D.

“Alhamdulillah tempahan kek jeli saya bukan sahaja ditempah untuk majlis perkahwinan, hari lahir bahkan turut mendapat sambutan pada bulan kemerdekaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Endau di sini.

Tambahnya, disebabkan persaingan pasaran dengan kek biasa, dia perlu tampil lebih kreatif dengan menghasilkan kek  bertemakan musim tertentu termasuk Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya.

Bercerita lanjut, suri rumah itu berkata, pada peringkat awal perniagaan pernah memperoleh pendapatan sehingga RM7,000 sebulan hasil tempahan pelbagai rekaan kek jeli.

Katanya, kek jeli dihasilkan amat sesuai untuk semua peringkat usia termasuk warga emas kerana tidak terlalu manis.

“Baker atau pembuat kek sudah terlalu ramai tetapi pembuat jeli tidak ramai. Tekniknya juga agak rumit dan memerlukan kemahiran khusus.

“Walaupun renyah, ia tetap menyeronokkan kerana setiap tempahan ada cabarannya,” katanya lagi.

Norazila yang pernah mengikuti kursus pembuatan kek jeli itu dengan kos RM450 berkata, ilham untuk menghasilkan rekaan datang daripada media sosial selain idea pelanggan sendiri.

“Walaupun bahannya ringkas seperti air jeli, gula, pewarna dan susu penuh krim, proses penyediaannya mengambil masa kira-kira 20 jam kerana memerlukan ketelitian,” katanya.

Tambahnya, modal permulaan sekitar RM1,000 digunakan untuk membeli peralatan seperti jarum khas, periuk dan bahan asas.

Jelasnya kini, hasil jualannya bukan sahaja mendapat tempahan sekitar Endau, Mersing tetapi juga dihantar sehingga ke Rompin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast