Peseta dibawa menyertai aktiviti pembersihan sungai.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) melalui Pusat Pembangunan dan Kelestarian (UMSDC) dan Pusat Mobiliti Global telah menganjurkan Program Pengajian Luar Negara Jaringan Global SDG Universiti Australia–Malaysia.

Program bertemakan SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi ini turut disertai oleh pelajar UM sebagai ‘rakan program’, dan menerima kunjungan 12 pelajar
cemerlang dari enam universiti Australia: University of Wollongong, The University of Western Australia, Macquarie University, Western Sydney University, Griffith University, dan Swinburne University of Technology.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Musim Panas Pelan Colombo Baharu yang dibiayai oleh Kerajaan Australia bagi memperkukuh pemahaman pelajar sarjana muda mengenai rantau Indo-Pasifik melalui pengalaman pembelajaran berasaskan komuniti berkaitan pencapaian
Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Bertumpukan perspektif Malaysia dan ASEAN, program ini merangkumi aktiviti pembelajaran dalam bilik kuliah, kerja lapangan, penglibatan komuniti dan aktiviti silang budaya bagi memperlihatkan kepelbagaian inisiatif lokal dalam menyokong pelaksanaan SDG.

Para peserta didedahkan kepada cabaran global berkaitan kelestarian dan pendekatan tempatan yang diambil untuk mengatasinya, sekali gus membandingkan pendekatan Malaysia dan Australia dalam usaha pencapaian SDG.

Komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan SDG dalam sektor pendidikan, kerajaan dan industri turut diketengahkan melalui aktiviti pembelajaran yang dijalankan. Program ini melibatkan lima universiti Malaysia (UM, UKM, UTM, UTeM dan UPM) yang masing-masing membawa tema SDG berbeza: SDG
1 (Tiada Kemiskinan), SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 7 (Tenaga Mampu Milik dan Bersih), SDG 12 (Bandar dan Komuniti Mampan), dan SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).

Sebagai komitmen UM di bawah tema SDG 6, peserta mengikuti program Saintis Masyarakat di bawah inisiatif Water Warriors. Mereka menyertai aktiviti pendokumentasian biodiversiti melibatkan serangga akuatik, burung air dan tumbuhan tanah lembap – menggunakan pendekatan sains warganegara (citizen science) bagi menggalakkan penglibatan komuniti dalam pemantauan alam sekitar dan pemuliharaan sumber air.

UM turut menganjurkan lawatan ke Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 (RSTP) dengan kerjasama Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Para peserta menyaksikan sendiri fasiliti rawatan bawah tanah yang mengaplikasikan teknologi hijau seperti panel solar, penggunaan biogas, penuaian air hujan dan penggunaan semula efluen untuk tujuan bukan minuman.

Loji ini turut dilengkapi kemudahan rekreasi untuk komuniti setempat. Lawatan ini memberi pendedahan tentang usaha Malaysia dalam penyediaan infrastruktur sanitasi bersih untuk keperluan penduduk yang kian meningkat.

Antara sorotan program ialah aktiviti pembersihan sungai di Sungai Selangor dan pemuliharaan habitat kelip-kelip di Kampung Kuantan. Para peserta membantu menyediakan 77 anak pokok berembang (Sonneratia caseolaris) dan nipah (Nypa fruticans), iaitu spesies penting bagi
pemuliharaan habitat kelip-kelip.

Aktiviti pembersihan berjaya mengumpul 58 kg bahan boleh kitar semula dan 47 kg sisa tidak boleh kitar semula – sekali gus memperkukuh mesej kelestarian melalui tindakan berasaskan komuniti.

Selain itu, UM turut mempamerkan sistem akuaponik pintar di Fakulti Kejuruteraan sebagai sebahagian daripada inisiatif makmal hidup (living lab). Sistem ini menggabungkan penuaian air hujan, akuakultur dan hidroponik dalam kitaran tertutup bagi penghasilan makanan mampan dan
pengurangan jejak karbon.

Menerusi program kerjasama ini, peserta bukan sahaja memperoleh pengalaman langsung dalam amalan kelestarian, malah membawa pulang pengetahuan dan inspirasi untuk dikongsi bersama komuniti masing-masing. Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan institusi antara Malaysia
dan Australia, malah memperkasakan belia sebagai agen perubahan dalam usaha mencapai SDG, khususnya di rantau Indo-Pasifik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast