KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak dibenar oleh Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkaitan titah adendum.
Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan bekas Perdana Menteri selepas berpuas hati beliau gagal membuktikan kes prima facie bagi mewajarkan mahkamah membenarkan prosiding komital dimulakan hadap Ahmad Terrirudin.
Beliau berpendapat, dakwaan Najib (pemohon) bahawa Ahmad Terrirudin (responden) menghina mahkamah dengan menafikan kewujudan titah adendum, dibuat tanpa bukti kukuh.
“Tiada bukti jelas yang menyokong dakwaan pemohon bahawa Peguam Negara ketika itu (responden) telah menghina mahkamah kerana dakwaan itu dibuat berlandaskan kepada spekulasi semata-mata.
“Kesan terhadap prosiding hina mahkamah adalah serius dan mahkamah ini akan berhati-hati untuk bertindak berdasarkan andaian semata-mata,” ujar beliau.
Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati, pendirian Ahmad Terrirudin membantah kebenaran semakan kehakiman Najib, tidak boleh dikatakan sebagai salah laku.
Najib membuat permohonan menghina mahkamah berdasarkan bukti bahawa Ahmad Terrirudin ketika berkhidmat sebagai Peguam Negara mengetahui kewujudan titah adendum, namun memilih untuk mengelirukan mahkamah.
Dalam penghakimannya, Hakim Alice Loke menyatakan, permohonan menghina mahkamah dikemukakan atas satu fakta penting bahawa titah adendum wujud dan Ahmad Terrirudin menyedari kewujudannya.
Bagaimanapun, beliau berpendirian, ketika itu, Najib tidak mengetahui sama ada titah adendum wujud sewaktu memfailkan kebenaran semakan kehakiman.
Ujar beliau, perlu diingatkan bahawa walaupun pada awalnya titah adendum itu dibenarkan untuk diterima sebagai bukti bagi tujuan perbicaraan semakan kehakiman, persoalan mengenai kesahan dan kesannya masih perlu ditentukan oleh mahkamah.
Menurut Hakim Alice Loke, Ahmad Terrirudin tidak dipertanggungjawab sama ada mengesahkan atau menafikan kewujudan titah adendum pada peringkat kebenaran semakan kehakiman.
Beliau selanjutnya menyatakan, Ahmad Terrirudin tidak boleh didakwa menghina mahkamah hanya berdasarkan pendirian beliau membantah kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Najib.
Tindakan menghina yang didakwa ialah responden mengarahkan pegawainya mengemukakan hujah palsu dan menafikan kewujudan titah adendum.
“Dakwaan ini adalah spekulasi semata-mata tanpa ketiadaan bukti yang jelas menunjukkan bahawa responden secara peribadi melakukan seperti yang didakwa.
Mahkamah selanjutnya berpendirian, permohonan menghina mahkamah itu difailkan terlalu lewat dan memudaratkan pemohon.
Beliau berkata, permohonan itu hanya difailkan pada Mei 2025, hampir setahun selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukakan bantahan untuk kebenaran semakan kehakiman Najib pada April 2024.
Hakim berkenaan berpuas hati, tempoh masa yang ketara menjejaskan permohonan Najib dan tidak mewajarkan remedi diberikan kepadanya.
Pada 19 Ogos lalu, hakim berkenaan selesai mendengar penghujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili bekas Perdana Menteri dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili pihak kerajaan.
Sementara itu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan Seri Paduka ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette
















