Muhammad Zakwan.

GEORGE TOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mengecam keras tindakan rejim Israel yang menahan sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.

Ketua AMK negeri, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, perbuatan tidak berperikemanusiaan itu jelas menunjukkan Israel terus melanggar prinsip hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa tanpa rasa gentar terhadap tekanan dunia.

“Tindakan zalim ini adalah bukti nyata bahawa Israel terus melanggar prinsip hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa tanpa rasa takut kepada tekanan global.

“AMK Pulau Pinang berdiri teguh bersama seluruh rakyat Malaysia dalam menyatakan solidariti terhadap para sukarelawan yang berani dan ikhlas membantu rakyat Palestin.

“Sebarang cubaan untuk menghalang usaha kemanusiaan adalah perbuatan keji dan mesti dikecam oleh seluruh masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon jasa baik Kerajaan Malaysia untuk segera menggerakkan institusi masjid dan surau di seluruh negara bagi mengadakan solat hajat dan Qunut Nazilah, memohon perlindungan Allah SWT buat para sukarelawan yang ditahan serta kesejahteraan rakyat Palestin.

“AMK Pulau Pinang turut menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk terus bersatu menzahirkan sokongan moral dan politik dalam usaha membela nasib rakyat Palestin, selaras dengan prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast