Plantation workers carry out oil palm fruit harvesting at FGV Moakil 07 Estate in Segamat, Johor. Photo by Fareez Fadzil, 25 September 2024.

KUALA LUMPUR – Peruntukan khusus kepada sektor sawit di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap peranan penting industri ini sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara serta kesejahteraan pekebun kecil dan tenaga kerja tempatan.

Antara inisiatif yang diumumkan termasuk peruntukan RM63 juta bagi memperhebat kempen menangani anti-minyak sawit serta memperkukuh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, langkah ini penting dalam menangkis salah tanggap di peringkat antarabangsa dan mengukuhkan reputasi minyak sawit Malaysia sebagai minyak sayuran yang bebas lemak trans dan dihasilkan secara mampan.

Selain itu, peruntukan RM20 juta turut disediakan untuk menggalakkan pengeluaran produk mekanisasi dan automasi ladang sawit oleh syarikat tempatan dengan sokongan MPOB.

Inisiatif ini, katanya, akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing serta mempercepatkan transformasi sektor sawit ke arah automasi dan pendigitalan, selaras dengan hala tuju Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2023).

Kerajaan juga memperuntukkan RM120 juta bagi membantu pekebun kecil termasuk bagi tujuan pelaksanakan penanaman semula pokok tua di bawah skim galakan tanam semula.

Langkah ini memberi peluang kepada lebih ramai pekebun kecil meningkatkan hasil dan pendapatan melalui penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi dari pembekal sah di bawah Pensijilan Kod Amalan Baik Tapak Semaian untuk Tapak Semaian Sawit (CoPN) oleh MPOB,” ujarnya.

Menyedari kepentingan infrastruktur bagi pengangkutan hasil sawit, peruntukan RM50 juta diumumkan bagi penyelenggaraan dan pembangunan jalan-jalan ladang menambah baik kemudahan dan logistik bagi pekebun kecil di seluruh negara.

Selain itu, inisiatif tersebut turut disokong dengan peruntukan RM2.4 bilion kepada agensi peneraju seperti Felda, RISDA dan Felcra yang secara keseluruhan akan membantu lebih 720,000 peneroka dan pekebun kecil di Malaysia.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 mencerminkan kesungguhan dan keprihatinan Kerajaan terhadap kelangsungan serta daya saing industri sawit.

“Belanjawan ini memperkukuh komitmen kerajaan terhadap industri sawit sebagai sektor strategik negara.

“Penekanan terhadap inovasi, automasi dan kemampanan bukan sahaja menjamin daya saing industri, malah membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk turut terlibat dalam ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tambah,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pelaksanaan penanaman semula, pengukuhan persijilan MSPO serta pembangunan teknologi automasi ladang akan terus diperkasa bagi memastikan industri sawit Malaysia kekal sebagai peneraju global minyak sawit mampan yang berdaya tahan dan berimpak positif terhadap ekonomi, masyarakat dan alam sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast