SHAH ALAM – Polis mengesahkan remaja lelaki berusia 14 tahun yang ditahan selepas menikam rakan sekolahnya hingga maut memperoleh senjata yang digunakan melalui pembelian secara dalam talian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, perkara itu disahkan hasil siasatan awal pasukan penyiasat dan kini menjadi salah satu fokus utama siasatan.
“Kita sedang menyemak transaksi dan komunikasi dalam telefon suspek untuk mengenal pasti platform serta individu yang mungkin terlibat dalam urusan pembelian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menunggu laporan penuh penilaian pakar psikiatri bagi menilai keadaan mental dan emosi suspek semasa kejadian.
“Tiada tanda tekanan luaran, pengaruh dadah atau bahan terlarang. Namun kita mahu dapatkan pandangan pakar tentang keadaan minda suspek,” katanya.
Setakat ini, katanya, sebanyak 57 keterangan telah direkodkan melibatkan pelajar, guru, ahli keluarga dan wakil kaunselor sekolah.
“Kita juga meneliti rakaman CCTV dan bahan digital lain termasuk mesej antara suspek dan mangsa,” ujarnya.
Shazeli berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami banyak kesan tikaman di beberapa bahagian dan punca kematian disahkan akibat kecederaan parah di leher dan dada.
Beliau turut memaklumkan pihak polis sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memberikan bantuan psikologi kepada pelajar dan keluarga mangsa.
“Ini tragedi besar yang memberi kesan mendalam kepada seluruh warga sekolah. Kami menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Dendam, emosi mungkin motif pelajar 14 tahun tikam rakan sekolah hingga maut – Polis















