KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustazah Asni Abu Mansor mengumumkan dia kembali bergelar isteri kepada lelaki pilihannya, Mounir Abdul Kareem Kaddoura yang berketurunan Palestin dan merupakan warganegara kelahiran Amerika Syarikat (AS).
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Asni menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya pada awal pagi ini.
Dalam perkongsian tersebut, Asni meluahkan rasa syukur apabila dipertemukan jodoh yang sudah ditakdirkan untuknya.
“Ada ketentuan yang tertulis. Ada takdir yang terlukis. Sakinah, Mawaddah wa Rahmah. Secara sah saya zaujah kepada Mounir Abdul Kareem Kaddoura. Terima kasih atas doa yang baik-baik.
“Suami saya Palestin, warga AS,” tulisnya.
Bagaimanapun, pendakwah selebriti itu tidak mendedahkan tarikh sebenar majlis pernikahan mereka.
Ustazah Asni turut berkongsi video berdurasi pendek memaparkan beberapa foto bersama suami antaranya mereka berdua tampil sedondon mengenakan pakaian biru turquoise dalam suasana penuh sederhana namun bermakna.
Ibu kepada empat cahaya mata itu turut memaklumkan perkahwinannya berlangsung dengan penuh kesyukuran dan berharap agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia di bawah lindungan rahmat Allah.
Ustazah Asni yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan dikenali sebagai antara pendakwah wanita yang aktif menyampaikan kuliah agama di televisyen dan media sosial, selain sering diundang memberi ceramah di seluruh negara. – MalaysiaGazette
















