KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin menyatakan, pembelaan Ismanira Abdul Manaf bahawa anaknya diculik adalah tidak konsisten, sebaliknya keterangan yang dikemukakan menunjukkan kanak-kanak itu hilang pada hari yang sama laporan polis dibuat pada Disember 2023.
Pasukan pendakwaan menghujahkan, isu penculikan sengaja ditimbulkan bagi mengaburi kesalahan Ismanira yang didakwa mengabaikan kanak-kanak autisme itu.
“Jika benar Allahyarham Zayn Rayyan diculik, mengapa ia bukan perkara pertama yang dimaklumkan Ismanira kepada suaminya (Zaim Ikhwan Zahari)? Mengapa tidak dinyatakan dalam laporan polis (P15) ketika memaklumkan kehilangan anaknya?
“Ismanira sendiri mengesahkan bahawa versi anaknya diculik, tidak pernah dimaklumkan ketika dia menghubungi suami dan bapa mentua, Zahari Mohd Reba (SD2),” demikian hujah pendakwaan.

Sehubungan itu, pasukan pendakwaan menghujahkan, kesemua intipati pertuduhan terhadap Ismanira di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah berjaya dibuktikan pada perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Justeru, bersandarkan kepada peruntukan Seksyen 173 (m)(ii), Kanun Prosedur Jenayah pihak pendakwaan memohon tertuduh disabitkan dengan kesalahan sebagaimana pertuduhan.
Perkara itu dinyatakan dalam hujahan bertulis pihak pendakwaan bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh pembelaan. Dokumen itu yang diperoleh pihak media hari ini, difailkan pada 1 Oktober lalu.
Pendakwaan turut menghujahkan, tiada keterangan langsung yang dikemukakan di mahkamah untuk menunjukkan Ismanira menyebabkan atau mendedahkan anaknya kepada kecederaan-kecederaan yang dialami.
Namun demikian, pihaknya bergantung kepada keterangan ikut keadaan yang menunjukkan semasa Allahyarham Zayn Rayyan berada di bawah jagaan Ismanira, tertuduh telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada kemungkinan berlakunya kecederaan-kecederaan berkenaan.
Hujah pendakwaan, keterangan dua saksi kanak-kanak (SP14 dan SP15) menunjukkan, Zayn Rayyan telah dibiarkan berlari seorang diri ke arah kebun di belakang Blok R.
Menurut pendakwaan, jelas pada masa material, tertuduh tidak dilihat mengejar anaknya bagi mengelakkannya terus pergi ke arah kebun tersebut.
“Persoalan yang timbul, di manakah tertuduh berada ketika itu kerana kedua-dua saksi kanak-kanak tersebut tidak langsung melihat kelibatnya?” demikian hujah pendakwaan.
Oleh yang demikian, kesemua keterangan saksi-saksi apabila dilihat secara keseluruhannya menjurus kepada satu kesimpulan iaitu:
“Perlakuan tertuduh yang membiarkan Zayn Rayyan berjalan di belakang ketika sedang menaiki tangga ke tingkat atas telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada keadaan yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan kerana mangsa tidak lagi berada dalam pandangan ibunya,” demikian hujah pendakwaan.
Menurut pasukan itu, sebagai seorang ibu kepada kanak-kanak autisme, tertuduh sepatutnya memimpin tangan atau memastikan anaknya di hadapan, bukan dibelakang.
“Bukan itu sahaja, setelah mengetahui Zayn Rayyan melarikan diri, tertuduh sepatutnya terus lari mengejar dan mencarinya.
“Namun malang sekali untuk kes ini, tertuduh tidak berbuat sedemikian malah tidak mempedulikan anaknya dan hanya mementingkan diri sendiri dengan menghantar barang yang dibawa ke dalam rumah terlebih dahulu sebelum mencarinya semula. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV).
“Yang lebih memilukan, apabila menyedari anaknya melarikan
diri, saat yang sepatutnya mencetuskan panik dan tindakan
segera.
“Namun tertuduh tidak berlari mengejar, tidak menjerit memanggil, tidak menunjukkan rasa cemas yang sepatutnya ada pada seorang ibu yang baru kehilangan anaknya dari pandangan.
“Tiada seorang pun saksi pendakwaan yang mendengar Ismanira menjerit memanggil nama Zayn Rayyan bagi mencarinya. Sebaliknya, tertuduh memilih naik ke tingkat atas, menukar pakaiannya dan kemudian turun semula seolah-olah seperti tiada apa yang berlaku,” demikian hujah pendakwaan.

Ismanira, 30, didakwa atas pertuduhan pindaan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam, keesokannya.
Sepanjang prosiding berlangsung, tertuduh diwakili peguam- peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh yang mendengar kes itu akan memutuskan pada 31 Oktober ini sama ada Ismanira bersalah atau dibebaskan daripada pertuduhan. – MalaysiaGazette
















