Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 413,372 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2025 di 3,350 pusat peperiksaan seluruh negara.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), seramai 127,526 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan yang bermula 3 November ini..

Berikutan itu, KPM mengingatkan semua calon peperiksaan SPM agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, waktu, kod kertas dan nama kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

Katanya, jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2025 boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2025,” katanya menerusi kemyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI) sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2025 berlangsung.

Malah KPM juga siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan, ujarnya.

“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya terlibat dan terkesan dengan bencana.

“Calon juga boleh menghubungi bilik gerakan LP dan JPN di seluruh negara seperti di lampiran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast