KUALA LUMPUR – Datuk Rina Jainal menyifatkan penggantungan jawatan dan keahliannya dalam Parti Harapan Rakyat Sabah tiga hari sebelum penamaan calon sebagai keputusan mengejutkan dan seolah-olah cubaan sabotaj terhadap pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.
Menurut Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) itu, tindakan yang diambil itu amat pelik dan seperti ada niat tertentu untuk menyekatnya bertanding pada PRN Sabah ke-17.
Rina yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata, beliau tidak pernah meletakkan jawatan parti, malah terus aktif menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Jelasnya, isu dalaman parti sepatutnya dibincangkan secara kekeluargaan dan keputusan drastik itu mengganggu persiapan GRS di peringkat akar umbi.
“Ramai penyokong GRS, khususnya di Kukusan, turut kecewa dan keliru kerana mereka tahu saya sentiasa bekerja keras untuk rakyat dan parti.
“Tindakan seperti ini bukan sahaja mengecewakan, malah saya melihatnya sebagai satu langkah licik untuk menyingkirkan saya menjelang pilihan raya,” katanya.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PHRS, Christy Chok Lee Lui, berkata, tindakan itu dibuat berikutan siasatan Jawatankuasa Disiplin yang mendapati Rina gagal menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan menjejaskan reputasi parti di Kukusan.
Katanya, Majlis Tertinggi parti menerima cadangan untuk mengambil tindakan tegas kerana tindakan berterusan Rina didakwa menjejaskan nama baik parti, termasuk penularan fitnah dan tomahan terhadap parti serta Presiden, Tan Sri Liew Yun Fah.
“Dalam tempoh hampir dua tahun, Rina gagal mempromosikan nama parti dalam aktiviti kemasyarakatan dan gerak kerja di Kukusan, termasuk tidak menggunakan logo atau bendera parti di pejabatnya,” katanya. – MalaysiaGazette















