Satu guni tepung seberat 25 kilogram telah diagihkan kepada 500 buah keluarga. Foto MyCARE

KUALA LUMPUR – Dua trak yang membawa 1600 guni tepung telah masuk ke Gaza dan diagihkan pada awal minggu lalu.

Pengurus Kanan MyCARE Halim Sakrani berkata, satu guni tepung seberat 25 kilogram telah diagihkan kepada 500 buah keluarga.

“Di saat ini, pasca gencatan senjata, penduduk Gaza masih tidak menerima bekalan makanan yang cukup.

“Kemasukan trak yang membawa tepung ini dapat membantu mereka daripada kelaparan dan ia juga merupakan makanan ruji penduduk di Gaza, selain dapat bertahan lama dan bahan makanan berkenaan agak mudah untuk disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Halim lagi, meskipun gencatan senjata tercapai namun pihak rejim zionis hanya membenarkan lebih kurang 100 buah trak sahaja untuk membawa bantuan masuk ke dalam Gaza menyebabkan ia tidak cukup untuk menampung bekalan makanan penduduk.

Jumlah itu juga bertentangan dengan perjanjian gencatan senjata yang mensyaratkan 600 trak akan dibenarkan masuk setiap hari.

Trak bantuan daripada MyCARE yang membawa 1600 guni tepung gandum untuk penduduk Gaza.
Foto MyCARE

Menurut Pengurus MyCARE Gaza Dr Zaid Shehada pula, keadaan rakyat di Gaza kini sedikit bertambah baik berbanding sebelum gencatan senjata. Namun begitu, banyak cabaran masih berterusan.

“Keperluan kemanusiaan masih sangat besar. Walaupun jumlah bantuan semakin meningkat, kuantitinya masih jauh daripada mencukupi bagi menampung keperluan penduduk Gaza. Kira-kira 750 tan makanan sehari dibenarkan masuk ke Gaza jauh di bawah sasaran sekitar 2,000 tan sehari dan penghantarannya juga tidak berterusan”.

“Jumlah lori bekalan masih terhad, manakala jenis barangan yang dibenarkan dikawal ketat oleh pihak Israel. Keadaan ini terus menyebabkan kekurangan barangan asas dan harga masih tidak mampu ditanggung oleh kebanyakan keluarga,” katanya.

Terdahulu, 40 tan tepung dan 1000 pek makanan masing-masing bernilai RM360,000 telah diagihkan di sekitar kem sementara di bandar Gaza.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah membunuh hampir 68,200 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan menjadikan wilayah itu sebahagian besarnya musnah dan tidak boleh didiami.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast