GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang memperkukuh jalinan strategik bersama Jabatan Penyiaran Pulau Pinang dalam usaha memantapkan mesej pencegahan rasuah serta memupuk budaya integriti dalam kalangan masyarakat.

Pengarahnya, Datuk Karunanithy Y. Subbiah berkata, kerjasama itu menjadi saluran penting bagi memastikan mesej antirasuah dapat disampaikan secara lebih meluas terutama menerusi platform penyiaran seperti Mutiara FM.

Karunanithy menerima kunjungan Nor Hisham di Kompleks SPRM Pulau Pinang, semalam.

“Kami berharap agar Jabatan Penyiaran dapat terus menjadi rakan strategik dalam menyampaikan mesej pencegahan rasuah melalui rancangan seperti Bicara Prisma.

“Sokongan mereka sangat signifikan bagi memastikan agenda integriti ini sampai kepada semua lapisan masyarakat,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Penyiaran Pulau Pinang, Nor Hisham Abbas di Kompleks SPRM Pulau Pinang, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Berita Jabatan Penyiaran, Ahmad Faiz Ahmad Mustaffa; Ketua Bahagian Rancangan, Nisrin Mohd Noh; Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Pulau Pinang, Mustafa Kamal Ahmad; dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Pulau Pinang, Chin Chen Huat.

Dalam pertemuan itu, Karunanithy turut mencadangkan supaya beberapa program berimpak tinggi dirangka bersama bagi memperkukuh budaya integriti dalam kalangan kakitangan Jabatan Penyiaran selain membincangkan isu berkaitan tatakelola baik.

Sementara itu, Nor Hisham menegaskan komitmen jabatan itu untuk terus menyokong usaha SPRM dan memanfaatkan platform yang ada bagi mendidik masyarakat mengenai kepentingan membanteras rasuah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast