Temubual bersama calon Barisan Nasional N.09 Tempasuk, Azuwan Marjan @ Norjan pada Program SkopMG sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kota Belud, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 17 NOVEMBER 2025.

KOTA BELUD – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Tempasuk, Azuwan Marjan @ Norjan komited membawa aspirasi orang muda pada edisi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Sama sekali tidak gentar berhadapan saingan tujuh penjuru, Azuwan berkata, wajah baharu yang ditampilkan BN menunjukkan keberanian parti itu membuat perubahan.

“Saya anak jati Tempasuk dan membesar di sini, jadi fokus utama adalah untuk menjadi nadi penyambung perjuangan BN yang sekian lama membela nasib rakyat.

“Saya akui saingan tujuh penjuru memang sengit tetapi ia tidak melemahkan semangat saya.

“Bersama-sama jentera BN, kami sentiasa bergerak dalam satu rentak yang tersusun dan fokus kami adalah membawa kemenangan kepada parti,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi program SKOP MG.

Ditanya mengenai kempen, Azuwan berkata, ia tidak sesekali berkisar calon-calon lain sebaliknya lebih kepada menyampaikan manifesto dan hala tuju BN yang jelas untuk meningkatkan ekonomi dan infrastruktur di kawasan Tempasuk.

“Rakyat di sini tahu, rekod BN dalam pembangunan adalah terbukti. Saya hadir bukan sekadar untuk bertanding tetapi untuk menyambung legasi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Temubual bersama calon Barisan Nasional N.09 Tempasuk, Azuwan Marjan @ Norjan pada Program SkopMG sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kota Belud, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 17 NOVEMBER 2025.

Antara fokus Azuwan jika diberi mandat pengundi adalah memastikan sektor pertanian dan pendidikan diberi penekanan.

“Sebelum ini sudah ada pecah tanah untuk membina politeknik dan ia perlu dilaksanakan sesegera mungkin. Sebagai pemimpin muda dan pernah aktif dalam majlis belia, saya mahu rakyat Sabah mempunyai Pendidikan dan peluang pekerjaan terbaik.

“Kerana itu penting untuk BN menang untuk memastikan Nasib mereka semua terbela,” jelasnya lagi.

Azuwan dilihat membawa imej baharu yang cuba menembusi kubu kuat parti lawan.

Selain berhadapan calon-calon bebas yang dipercayai mempunyai pengaruh setempat, Azuwan turut berdepan saingan daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti-parti pembangkang yang lain.

“Saya percaya kepada kebijaksanaan pengundi Tempasuk. Mereka akan memilih calon yang benar-benar boleh berkhidmat dan mempunyai hubungan yang kukuh dengan kerajaan yang bakal dibentuk kelak,” katanya optimis.

PRN Sabah ke-17 akan diadakan pada 29 November dengan menyaksikan pertembungan sengit di banyak kerusi dengan DUN Tempasuk menjadi salah satu tumpuan kerana jumlah calon yang ramai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast