Calon Bongawan, Anifah Aman

BONGAWAN – Tan Sri Anifah Aman berhasrat membangunkan Bongawan sebagai hab minyak dan gas seterusnya di Sabah dilihat sebagai kesinambungan kepada projek tenaga yang pernah dimulakan oleh beliau lebih sedekad lalu, ketika Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) diwujudkan di Kimanis.

Anifah, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan itu berkata, rancangan menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat industri baharu bukan muncul menjelang pilihan raya, sebaliknya sebahagian daripada pelan pembangunan yang telah lama dirangka ketika beliau masih Ahli Parlimen Kimanis.

Katanya, kewujudan SOGT membuktikan potensi koridor tenaga di kawasan Bongawan–Kimanis, sekali gus menjadikan Bongawan lokasi logik untuk pembangunan fasa seterusnya industri minyak dan gas Sabah.

“Ini bukan cadangan tergesa-gesa. Kita sudah melihat sendiri bagaimana SOGT menjadi tulang belakang industri tenaga Sabah hari ini.

“Laluan itu masih terbuka dan Bongawan mempunyai kapasiti untuk mengulangi kejayaan sama,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Anifah berkata, pengalaman serta jaringan antarabangsa yang dimilikinya semasa mengetuai kementerian luar negeri turut menjadi faktor penting bagi menarik minat syarikat tenaga dan pelabur luar ke kawasan tersebut.

Menurutnya, hab industri itu berpotensi memberi kesan langsung kepada kehidupan penduduk termasuk peluang pekerjaan baharu, pertumbuhan ekonomi tempatan dan pembinaan infrastruktur sokongan seperti jalan raya, utiliti serta sistem telekomunikasi.

“Jika pembangunan ini bergerak seperti yang dirancang, Bongawan boleh muncul sebagai zon strategik baharu Sabah, sepertimana Bintulu dan Kemaman menjadi pemacu utama ekonomi negeri masing-masing,” katanya.

Beliau menegaskan, keutamaan kini adalah memastikan manfaat pembangunan disalurkan kepada penduduk Bongawan, bukan kepada pihak tertentu.

Sehubungan itu, Anifah merayu sokongan pengundi bagi membolehkan usaha tersebut dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya ingin menamatkan apa yang pernah saya mulakan. Masyarakat Bongawan layak menerima pembangunan berskala besar dan dengan mandat yang jelas, saya bersedia membawa kawasan ini ke tahap seterusnya,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast